Kapal Maritim Malaysia dalam penyelenggaraan terbakar
LUMUT - Sebuah kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang dalam penyelenggaraan dilaporkan terbakar di dermaga Kampung Baru di sini pada Sabtu.
Laporan awal menyebut kejadian itu berlaku ketika kerja-kerja kimpalan dijalankan dalam kapal berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung dan Ayer Tawar diatur gerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.14 petang.
"Pemeriksaan mendapati kebakaran itu melibatkan bahagian kabin kapal dengan kemusnahan kira-kira 50 peratus.
"Pemadaman sedang dijalankan merangkumi tindakan 'defensive' dan 'offensive'. Pasukan telah masuk ke dalam kapal untuk kerja-kerja pemadaman dalam kabin," katanya.
Tambahnya, setakat jam 7 petang, operasi masih diteruskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!