Wakil parti sepakat pastikan Konvensyen Kerajaan Perpaduan lancar

Asyraf Wajdi. - Foto Bernama
Asyraf Wajdi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menjelang peristiwa bersejarah Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) esok, kerja-kerja persiapan akhir pada petang ini berjalan lancar.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata persiapan akhir konvensyen itu sudah mencapai 95 peratus, hasil komitmen gerak kerja semua wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan sejak dua minggu lepas.

"Komitmen tinggi semua wakil parti dipamerkan sejak dua minggu proses gerak kerja dan persiapan dilakukan daripada peringkat pimpinan tertinggi hingga jawatankuasa pelaksana, demi memastikan konvensyen ini berlangsung dengan lancar esok.

"Secara keseluruhan kita menjangkakan kehadiran lebih 10,000 delegasi parti politik, pemimpin parti malah kita juga mengalu-alukan penyokong, pendukung kerajaan perpaduan serta orang awam sama-sama menyaksikan peristiwa bersejarah ini,” katanya kepada pemberita ketika sesi raptai konvensyen itu di Dewan Merdeka WTCKL, hari ini.

Konvensyen yang diadakan buat julung kali itu membuka tirai dengan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan, diadakan secara serentak pagi esok.

Konvensyen diteruskan pada 2 petang dengan Bicara Rakyat oleh pemimpin-pemimpin parti Kerajaan Perpaduan bagi membicarakan mengenai komitmen dalam menyelesaikan isu rakyat termasuk ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep MADANI dalam pelaksanaan agenda rakyat.

Segmen itu terbahagi kepada tiga sesi iaitu Memperkasa Ekonomi Rakyat, Membina Negara Bangsa dan Malaysia MADANI.

Kemuncak konvensyen bertemakan ‘Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia’ itu bermula pada 3.30 petang dengan amanat Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum berakhir dengan pelancaran tekad bersama konvensyen. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!