Kemarau pingat perlumbaan bot tradisional Sukan SEA berakhir
KONTINJEN Malaysia yang masih buntu menemui pingat emas pada hari kelapan temasya Sukan SEA Kemboja 2023 menambah satu kilauan perak menerusi sukan perlumbaan bot tradisional.
Pada saingan grand final yang berlangsung di Prek Kampot di wilayah Kampot, kira-kira 150 kilometer dari sini, pingat perak itu disumbangkan dalam acara 250 meter (m) 12 kru terbuka lelaki.
Skuad perlumbaan bot tradisional negara mencatatkan masa 2 minit 9.545 saat (s) di belakang Thailand yang merangkul emas dengan catatan 2:03.764s sementara Kemboja membawa pulang gangsa selepas menamatkan saingan dengan catatan 2:10.120s.
Kejayaan itu sekali gus menamatkan badi tanpa pingat selama 30 tahun buat skuad negara dalam sukan itu sejak kali terakhir Malaysia meraih pingat pada edisi 1993 di Singapura.
Skuad negara dibarisi Ahmad Amir Khan Zainalabadin Khan, Ahmad Ariff Rasydan, Ahmad Nuqman Hadi Ayob, Khairul Naim Zainal, Mirza Adli Shaharaziz, Mohammad Fahmi Izwan Shahril dan Montoya Raw Michael.
Melengkapi pasukan adalah Muhammad Fakhrullah, Muhammad Aiman Zamberi, Muhammad Bahij Rabbani. Muhammad Ridzuan Abdul Aziz, Muhammad Shahrin Haziq dan Nik Afiq Nik Mazli.
Sementara itu, kem perlumbaan bot tradisional negara turut menyumbangkan gangsa menerusi acara 250m 3 Kru (U24) wanita.
Vietnam merangkul emas dalam acara itu selepas menjadi pasukan terpantas dengan catatan masa 2:49.560s diikuti Kemboja 2:49.636s untuk pingat perak dan Malaysia jauh ketinggalan berdasarkan catatan masa di tempat ketiga selepas merekodkan 4:26.028s.
Skuad negara dibarisi Farah Zulaikha Tokiman, Nur Amirah Anisah Abd Kadir, Nur Atasha Nabila Saring, Nur Syahirah Fuad, Nurul Najieha Zulkifli dan Siti Nurul Masyitah Md Elias.
Dalam pada itu, Malaysia mengakhiri acara 250m 5 Kru (U24) lelaki di kedudukan keempat di belakang Myanmar yang memenangi emas, Kemboja (perak) dan gangsa menjadi milik Thailand.
Acara perlumbaan bot tradisional akan bersambung esok dan melabuhkan tirai saingan pada Selasa ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!