JDT realisasi kemenangan Liga Super kali ke-10
HASRAT pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari yang mahu menyaksikan skuad kendaliannya itu melakar kemenangan ke-10 musim ini tercapai apabila skuad Harimau Selatan itu menewaskan Kelantan United FC (KUFC), 6-0, pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu kian mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super dengan 30 mata.
Bagai diramal, JDT bermula garang dengan mengasak kubu pelawat sebaik wisel permulaan bagi membuka jaringan.
Kesemua asakan berkenaan akhirnya berhasil apabila rembatan tonggak import, Bergson Da Silva dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol KUFC, Ahmad Asyraf Omar untuk gol sulung perlawanan pada minit ke-8.
Tersentak dengan gol berkenaan, pemain KUFC dilihat cuba bangkit mengasak ke gawang tuan rumah dalam usaha menyampaikan kedudukan.
Namun asakan-asakan berkenaan berjaya dikekang benteng pertahanan JDT ambil menyaksikan beberapa percubaan pelawat tidak menepati sasaran.
JDT menambah gol kedua hasil jaringan seorang tonggak import, Fernando Forestieri pada minit ke-21.
Tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan selepas itu dan menyaksikan JDT selesa memimpin perlawanan menuju ke bilik persalinan.
JDT menggandakan asakan pada babak kedua dalam usaha menambah jaringan, namun dilihat sukar untuk melepasi benteng pertahanan pelawat.
Skuad Harimau Selatan itu terpaksa menunggu hingga minit ke-62, bagi meledak jaringan ketiga menerusi Bergson yang tenang menewaskan Ahmad Asyraf buat kali kedua.
Jaringan itu semakin menyemarakkan semangat kesebelasan JDT untuk menambah jaringan dan Bergson kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-68 untuk gol keempat dan gol ketiga peribadinya malam tadi.
JDT meledak gol keempat pada, apabila seorang lagi tonggak import, Leandro Velazquez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-75.
Selesa 5-0 di depan bagaimanapun menyaksikan skuad Harimau Selatan itu terus mengasak hebat ke gawang skuad Kijang Hijau itu bagi menambah jaringan dan hasilnya Forestieri menjaringkan gol keenam pada masa kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!