Dua pelajar politeknik maut, kereta bertembung treler
JEMPOL - Dua pelajar Politeknik Muadzam Shah, Pahang maut selepas kenderaan dinaikinya dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 33 Jalan Bahau- Keratong pada Sabtu.
Mangsa yang maut masing-masing merupakan pelajar perempuan dikenali sebagai Chen Pui Xia, 22, dari Sungkai, Perak dan Norsyahira Rahmat, 23, dari Sepang, Selangor, manakala seorang lagi cedera parah dan menerima rawatan di zon merah Hospital Jempol.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian pada jam 3.40 petang itu membabitkan sebuah kereta buatan tempatan di naiki tiga pelajar berkenaan dengan treler dipandu lelaki berusia 47 tahun.
"Siasatan awal mendapati, ketika treler berkenaan menuruni jalan berbukit, kereta yang dinaiki mangsa dari arah Bahau menuju Keratong masuk secara mengejut ke laluan treler dari arah Keratong menuju Bahau.
" Akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan bertembung secara berdepan di laluan treler tanpa muatan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Chang Hook berkata, Phui Xia iaitu pemandu kereta dan Norsyahira penumpang belakang mengalami kecederaan parah dikepala selain patah peha kanan dan patah kaki kanan meninggal dunia ditempat kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada penjaga kereta yang menjalankan perniagaan kereta sewa, kereta itu disewa atas nama Norsyahira dan ketiga-tiga mereka pergi ke Dengkil, Selangor dan dipercayai mereka memandu secara bergilir-gilir.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!