Karya mesti dinilai dan dipromosi
Sastera & Budaya
ARTIKEL Mana Sikana, ‘Mediasi Kuasa Seorang Editor’ (Sinar Ahad, 30 April lalu) amat menarik dan perlu diambil perhatian. Agak jarang penulis membicarakan peranan editor.
Secara peribadi, saya sendiri amat menghormati editor kerana tugas dan peranan mereka membolehkan atau membuka ruang agar pengarang pelbagai bidang berkembang maju. Mana Sikana menyebut beberapa alasan dan contoh bagi menunjukkan besarnya jasa bakti editor.
Dalam era yang sedang kita lalui, sejumlah penulis terutama penulis sajak (puisi) mengasingkan diri daripada editor. Penghasilan karya di media sosial kini adalah bebas dan dianggap amalan demokrasi dalam penulisan. Sesiapa sahaja dapat mengemukakan karya masing-masing tanpa tapisan editor.
Saya mempunyai pandangan bagi penulis yang berbakat besar, kebebasan begitu ada faedahnya. Karya-karya yang baik dapat sampai kepada pembaca dengan segera. Beberapa orang teman penulis memberikan pandangan yang sebaliknya.
Mereka bertanya, bagaimana halnya jika terdapat kekurangan pada karya? Bukankah selama ini karya itu tetap terbit di media sosial, biarpun nilai seni dan pemikirannya di tahap mediokriti atau rendah? Dengan kata lain, apabila tapisan daripada editor tidak berlaku, mutu karya tidak terjamin.
Saya menyedari sejumlah penyair atau calon penyair telah menyiarkan dan akan terus menyiarkan karya-karya mereka secara bebas di media sosial. Perkara itu telah dibincangkan dalam forum dan seminar. Dalam satu forum di Shah Alam, Khair Ngadiron (tokoh penerbitan) secara terbuka telah berjanji dengan saya bahawa beliau akan mengusahakan buku puisi yang terpilih.
Maksud beliau, puisi-puisi yang baik (atau terpilih) hendaklah diterbitkan dalam bentuk buku agar menjadi contoh. Tindakan menerbitkan buku puisi yang baik ialah satu jalan untuk menjaga bidang ini agar tidak terheret jauh di jalan mudah.
Penyiaran karya secara berleluasa tidak akan dapat dihalang, malah tidak perlu dihalang. Maksud frasa ‘terheret jauh’ di atas itu ialah soal teori dan soal penilaian di tahap ilmiah. Terdapat penulis karya sastera yang bersungguh-sungguh berusaha untuk memperoleh kemantapan dan ada penulis yang cepat berpuas hati apabila karyanya siap tanpa memikirkan impak.
Penulis jenis pertama sentiasa memikirkan pencapaian mutu, manakala jenis kedua memperoleh kepuasan setelah karyanya siap dan dipaparkan kepada khalayak Facebook.
-SH: KAWALAN EDITOR
Saya bersetuju dengan Khair. Bahkan, pemikiran saya sejalan dengan pemikiran Mana Sikana iaitu penghasilan karya sastera hendaklah di bawah kawalan editor. Editor yang baik sentiasa bersedia untuk membantu penulis.
Dalam tulisan yang dirujuk ini, Mana Sikana menyebut bahawa Suhaimi Muhammad ialah penyair berbakat besar. Seterusnya, Mana Sikana mengatakan Suhaimi menjarakkan diri daripada pihak yang berupaya mempromosinya. Dalam hal itu pun saya tetap sejalan de-ngan Mana Sikana iaitu bersetuju Suhaimi ialah penyair yang amat berkeupayaan.
Dalam Teori Anjakan Makna, masalah yang menghalang terdedahnya kecemerlangan Suhaimi ialah kenipisan aspek kekenalan.
Kaedah penghasilan karya Suhaimi tidak dikenali dengan baik oleh pembaca dan pengkritik sastera. Rata-rata pembaca gagal menilai dan menghayatinya. Saya menemukan beberapa buah sajaknya yang cukup baik dan elok disebutkan. Saya sendiri pernah berusaha mempromosikan karya Suhaimi.
Sejak awal dekad 1960-an, Suhaimi sudah memiliki kaedah perpuisian tersendiri. Namun, seperti disebutkan oleh Mana Sikana, Suhaimi berdiri sebagai The Lone Ranger dengan stailnya. Saya kemukakan sajak ‘Di Tanah Merdeka ini’ bagi menunjukkan gaya tersendiri penyair ini:
Sepuluh ribu soldadu turun naik,
Perang ini bukan di medan tempur,
Pohon tua tanah tua adalah pohon batu,
Bumi batu bumi ini adalah bumi batu kita,
Perang kini antara anak dengan ayah,
Kalah menang bukan untuk berbagi nasib,
Api untuk berbagi luka,
Berjuta luka ini berbaur dalam arak candu.
- (Buku Malaysia Dalam Puisi, 1988. DBP, muka surat 263)
Sajak ini sukar untuk difahami oleh pembaca yang tidak akrab dengan stail Suhaimi. Ia sajak yang bertema pilihan raya. Suhaimi memerhatikan kesan pilihan raya. Perkataan ‘luka’ ialah kata kunci yang membawa maksud pertelingkahan antara keluarga kerana perbezaan sikap politik.
Perpecahan keluarga (yang berlaku kerana perbezaan pandangan politik) dianggap ‘mabuk’ oleh Suhaimi dan frasa yang digunakan ialah ‘dalam arak candu’.
Selain soal peranan editor, Mana Sikana juga menyebutkan penilaian oleh pihak lain terutama pihak yang mengadili karya untuk diberi anugerah.
Editor memilih karya yang baik untuk disiarkan dalam penerbitannya, manakala panel pe-nilaian anugerah memilih karya yang baik untuk dimenangkan. Karya yang lulus dalam penilaian editor akan diterbitkan, manakala karya lulus dalam pemilihan oleh panel akan diiktiraf menang dan pengarangnya memperoleh anugerah.
Aspek kekenalan dalam Teori Anjakan Makna amat berkaitan dengan peranan disebutkan ini. Editor dan panel penilai hendaklah mengenali aspek-aspek seni, perasaan serta pemikiran yang ada dalam karya. Penilaian hendaklah dilaksanakan melalui pembacaan dan pemahaman yang rapi serta jitu. Tidak dapat tidak, peranan editor dalam pemilihan karya akan terus berlangsung. Peranan panel penilai juga berterusan.
Di Malaysia, tersedia beberapa hadiah dan anugerah untuk penulis. Karya-karya dalam semua bidang akan terus dinilai dari masa ke masa. Dalam bidang drama misalnya, setelah dipromosikan oleh pembicara dalam jangka masa lama, kita mendapat kesan bahawa Mana Sikana sendiri berada dalam barisan bersama-sama Johan Jaaffar, Hatta Azad Khan dan Zakaria Ariffin.
Selain itu, beliau juga dikenali sebagai pelopor atau pencipta Teori Teksdealisme. Hasil penilaian yang rapi, pada 2004, beliau menerima Anugerah Sasterawan Perak. Johan pula, selain sebagai dramatis, juga wartawan yang terkemuka.
Hasil penilaian berpanjangan juga, pada 2019, beliau menerima anugerah Tokoh Wartawan Negara. Selain mereka berdua, kita temukan nama-nama penerima aneka anugerah, misalnya Zakaria Ariffin dan Hatta Azzad Khan menerima Sea Write Award, Rosli K Matari menerima Anugerah Sasterawan Kelantan dan lain-lain.
Semua ini ialah penanda wujudnya promosi dan penilaian berterusan dalam bidang penulisan.
*Datuk Rahman Shaari ialah penyair terkemuka tanah air dan Sasterawan Negara ke-15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!