Kisah klasik Southampton di EPL berakhir
KAPTEN Southampton, James Ward-Prowse menyifatkan The Saints gagal memenuhi standard sebenar Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mengesahkan penyingkiran dari saingan teratas England pada Sabtu.
Kekalahan 0-2 kepada Fulham di Stadium St Mary's hasil jaringan separuh masa kedua Carlos Vinicius (minit ke-48) dan Aleksandar Mitrovic (minit ke-72) mengesahkan kekalahan ke-24 liga selepas 36 perlawanan musim ini.
"Ya, sesungguhnya ia sesuatu yang amat mengecewakan tambahan pula ia detik yang akan datang. Kami tahu bahawa sesungguhnya kami juga yang meletakkan kelab ini dalam kedudukan yang sukar.
"Saya percaya kami sepatutnya beraksi pada tahap lebih baik daripada yang dilakukan dan kami tidak melakukannya secara konsisten.
"Ya, sejujurnya piawaian Southampton telah hilang dan itulah sebabnya kelab sarat tradisi liga Inggeris ini berada di kedudukan sekarang," kata Ward-Prowse.
Southampton kini berada di tangga terbawah dengan 24 mata daripada 36 perlawanan, akan kembali ke Liga Kejuaraan, 11 tahun selepas dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris pada 2012.
The Saints lebih dikenali dengan reputasi kelab pembangunan bakat dalam tempoh menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik EPL selama empat musim berturut-turut.
Namun mula menjarakkan diri daripada perebutan slot kempen kelab Eropah apabila bergelut untuk menyisihkan diri dari zon penyingkiran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Southampton telah menamatkan saingan di tempat ke-15 atau lebih rendah dalam empat daripada lima kempen terakhir liga teratas sebelum ini, dengan kemerosotan berterusan memuncak musim ini, apabila hanya memperoleh enam kemenangan liga, sambil mencatat rekod kekalahan kelab sebanyak 24 kali.
The Saints juga berada di bawah kendalian pengendali ketiga musim ini, Ruben Selles, berikutan pemecatan Nathan Jones dan Ralph Hasenhuettl sebelum itu.
Ward-Prowse, yang berasal dari Akademi Southampton, membuat 341 penampilan EPL untuk kelab itu, boleh meninggalkan St Mary's pada jendela perpindahan musim ini.
"Ya, Southampton yang mempunyai konsistensi sejak 10 tahun kebelakangan ini mula goyah. Ia akan menguji semua orang kerana inilah masa yang menjadikan anda sebagai pemain dan sebagai sebuah kelab, kami telah melakukannya sebelum ini dan kami akan melakukannya sekali lagi," kata pemain berusia 28 tahun itu.
Sementara itu, pemilik kelab Sport Republic menyifatkan penyingkiran sebagai dari saingan EPL sebagai sesuatu yang amat sangat memilukan dalam sejarah pembikinan kelab.
"Kami telah berjuang tanpa jemu sebagai sebuah kelab sepanjang musim, tetapi semua perlu jelas memahami bahawa Liga Perdana Inggeris adalah liga paling kompetitif dunia dan keputusan dalam perlawanan kami juga tidak cukup bagus untuk mengekalkan kelab di sana lagi.
“Walaupun keputusan ini menyusahkan kita semua, namun sejujurnya sekarang ini merupakan masa terbaik untuk komuniti The Saints menunjukkan semula aura perpaduan.
"Bagi tujuan itu, kerja kami bermula hari ini untuk mengembalikan maruah serta imej Kelab Bola Sepak Southampton - ahli sulung Liga Perdana Inggeris dengan sejarah dan tradisi sejarah bola sepak Inggeris - ketempat yang sepatutnya. Matlamat kami adalah untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris secepat mungkin dan memastikan kekal di sana," kata kelab dalam satu kenyataan.
Southampton akan bertandang ke Brighton & Hove Albion sebelum melayan kunjungan Liverpool dalam perlawanan terakhir musim ini.
Liga Perdana Inggeris
Keputusan:
Leeds United 2-2 Newcastle United
Aston Villa 2-1 Tottenham Hotspur
Chelsea 2-2 Nottingham Forest
Crystal Palace 2-0 Bournemouth
Manchester United 2-0 Wolves
Southampton 0-2 Fulham
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!