Liga Juara-Juara gamit semula Manchester United
GOL Anthony Martial dan Alejandro Garnacho membolehkan Manchester United menyalakan semula impian menembusi slot Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Old Trafford.
Jaringan setiap babak bermula minit ke-32 diikuti jaringan masa kecederaaan minit ke-94 membolehkan anak buah Erik ten Hag mengumpul 66 mata selepas mengharungi 35 perlawanan - empat mata mengatasi Liverpool yang berada kedudukan keempat dengan kedua-dua pasukan berbaki tiga perlawanan.
Kapten Manchester United, Bruno Fernandes menyifatkan tiga mata diraih dalam perlawanan itu sebagai sesuatu yang amat penting selepas kurang konsisten dalam perlawanan terdahulu.
"Dalam perlawanan ini kami telah melakukan tugas masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab.
"Matlamat dalam perlawanan ini mudah iaitu kami perlu mendapatkan tiga mata dan memenangi perlawanan selepas dua kekalahan.
"Kami tahu betapa pentingnya untuk mengembalikan momentum kemenangan kepada pasukan kami," kata Fernandes.
Sebagai rekod, Manchester United tewas dua perlawanan terakhir sebelum ini - 0-1 kepada Brighton pada 5 Mei diikuti 0-1 kepada West Ham United (8 Mei) menyaksikan sasaran pentas kejuaraan Eropah musim depan samar.
Pada masa sama Fernandez yang berpeluang menjaringkan dua gol sebelum dinafikan ketangkasan penampilan sulung penjaga gol Wolves, Daniel Bentley, memuji kecekapan pemain berusia 29 tahun itu selepas memulakan karier bersama Southend, Brentford dan Bristol City.
“Kami melakukan tanggungjawab secara profesional dan boleh menjaringkan lebih banyak gol di Old Trafford, namun penjaga gol mereka tampil permainan yang sangat bagus untuk mengekalkan Wolves dalam permainan sepanjang perlawanan.
"Sejujurnya perlawanan ini bukan kes mensia-siakan peluang kami. Penjaga gol mereka melakukan kerja yang sangat baik, dan kami perlu memuji prestasinya dalam perlawanan ini," kata Fernandes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!