Rempuh penguat kuasa, cubaan lolos gagal
MELAKA - Gara-gara tidak mempunyai dokumen sah, lima pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup membahayakan diri menyeberangi jalan raya untuk melarikan diri dari ditahan pasukan Jabatan Imigresen Melaka.
Bagaimanapun, tindakan itu sia-sia selepas berjaya ditahan dalam beberapa siri operasi iaitu Op Selera dan Op Pintu Jabatan Imigresen Malaysia Melaka dalam operasi 14 jam berakhir Sabtu.
Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, mereka antara 26 PATI termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia antara dua hingga 54 tahun yang ditahan dalam operasi itu kerana dipercayai tidak memiliki dokumen sah serta tidak mempunyai permit.
Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) telah tamat tempoh dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
"Ketika serbuan dijalankan, berlaku kejadian PATI bertindak agresif dengan merempuh pegawai operasi untuk meloloskan diri dan berlaku adegan kejar-mengejar.
"PATI sanggup membahayakan diri berlari menuju ke jalan raya yang sibuk sebelum berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Tambah beliau, lokasi serbuan yang menjadi sasaran termasuk medan selera, restoran dan premis yang disyaki menjadi tempat penginapan PATI.
Ujar beliau, seramai 72 warga asing telah diperiksa dan 26 orang PATI yang ditahan termasuk 13 warga Myanmar, lima masing-masing warga India dan Indonesia, dua Bangladesh dan seorang warga Pakistan.
"Tiga borang saman saksi turut dikeluarkan kepada wakil majikan untuk membantu siasatan.
"Imigresen akan mengesan majikan yang didapati menggaji PATI untuk tindakan selanjutnya," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!