Perak rancang adakan solat sunat minta hujan
IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) merancang untuk mengadakan solat sunat istisqa (solat minta hujan) sekiranya cuaca panas kering di negeri ini terus berlanjutan.
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, memo pemberitahuan mengenai perkara itu akan dibuat kepada semua masjid di seluruh negeri dalam masa terdekat.
"Insya-ALLAH jika keadaan terus panas begini kita akan buat solat sunat istisqa untuk meminta hujan di seluruh negeri.
"Mungkin Isnin ini memo boleh dikeluarkan, jika tidak Selasa maka Rabu kita boleh adakan tanpa perlu tunggu Jumaat (solat Jumaat)," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Sambutan Hari Raya Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Taman Tasek Jaya dekat sini pada Ahad.
Pada Khamis, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) merekodkan Perak antara lima negeri berada di tahap satu iaitu keadaan berjaga-jaga kerana mencapai suhu harian antara 35 hingga 37 darjah celsius sekurang-kurangnya melebihi tiga hari berturut- turut.
Kawasan terlibat adalah di Hulu Perak, Kinta dan Manjung.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Muhammadiah, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah berkata, anjuran rumah terbuka yang menjadi aktiviti tahunan masjid telah dihentikan selama tiga tahun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Tahun ini kita anjurkan semula dengan dengan harapan dapat mengeratkan ukhwah antara ahli kariah dan penduduk sekitar.
"Kita meraikan semua lapisan masyarakat termasuklah mereka bukan Islam untuk sama-sama meraikan kemeriahan Aidilfitri," katanya.
Masjid Muhammadiah yang dibangunkan mengikut seni bina Cina bukan setakat menarik umat Islam beribadat, tetapi tarikan kepada bukan Islam dengan pelbagai aktiviti dan kemudahan disediakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh negeri catat suhu melebihi 35 darjah Celsius
ARTIKEL BERKAITAN: Kemuncak cuaca panas
ARTIKEL BERKAITAN: 30 kawasan di Semenanjung hadapi cuaca panas tahap berjaga-jaga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!