Netizen kecam TikTokers 'kentut' di mikrofon kapal TLDM

Tangkap layar video permohonan maaf individu dipercayai menghina aset TLDM
Tangkap layar video permohonan maaf individu dipercayai menghina aset TLDM
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna di media sosial mengecam tindakan seorang 'TikTokers yang dipercayai menghina aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Tinjauan Sinar Harian di media sosial mendapati kebanyakan netizen menganggap perbuatan itu biadab selain merendahkan kekuatan aset ketenteraan dimiliki TLDM.

Pemilik akaun Facebook Malaysia Military Power menyatakan terdapat sebuah video tersebar di media sosial beberapa hari lepas menunjukkan seorang individu membuat bunyi kentut di Kapal Diraja (KD) Selangor.

"Video individu terbabit telah menjatuhkan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara amnya dan TLDM secara khusus.

"Semata-mata untuk mendapat 'like', individu itu sanggup menghina ATM," ujarnya.

Kebanyakan pengguna di dalam ruangan komen di media sosial akaun Facebook tersebut turut menyatakan bantahan atas tindakan tidak bertamadun itu.

Bagi pemilik akaun Facebook Lordman Kerol, tindakan undang-undang perlu dikenakan kepada individu berkenaan kerana telah mencemarkan imej ATM.

"Harap ada tindakan dari Kementerian Pertahanan atau mana-mana agensi berkaitan. Kalau tak makin menjadi-jadi generasi macam ini dan ia memalukan negara," ulasnya.

Berkongsi pandangan sama, seorang lagi pemilik akaun Facebook bernama Mat Rangga memberitahu perkara sedemikian tidak boleh hanya sekadar meminta maaf sahaja tanpa sebarang tindakan.

"Perkara sebegini akan berulang jika tiada tindakan tegas diambil...fikiran mereka bahawa semuanya boleh selesai dengan hanya meminta maaf," katanya.

Selain itu, menjengah ke ruangan komen di TikTok, rata-rata orang ramai memberikan pandangan sama terhadap isu berkenaan.

"Mohon TLDM ambil tindakan tegas...ini mencalarkan imej TLDM," komen pengguna akaun TikTok bernama mohdasifsabtu.

"Harap kenakan tindakan tegas sebagai pengajaran untuk semua," luah pengguna akaun TikTok bernama Perulai.

Sementara itu, difahamkan individu terbabit telah membuat permohonan maaf menerusi video berdurasi 31 saat yang dimuat naik di akaun TikToknya.

"Assalammualaikum semua... pada video kali ini saya mahu buat pengumuman berkenaan video kapal TLDM yang telah ditutup dibuat pada 30 April 2023 sempena ulang tahun TLDM ke-89 di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.

"Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada pihak TLDM berkenaan 'content' yang tidak disengajakan dan tiada niat untuk merendahkan kekuatan aset TLDM.

"Saya berharap agar video tersebut turut dipadam agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan perdebatan lagi di masa hadapan," ujarnya.

Perkongsian video permohonan maaf itu tular dengan 1 juta tonotona; 21,900 tanda suka manakala ruangan komen pula ditutup.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!