Paras sungai turun mendadak, 251,800 akaun di Kedah terjejas

SADA akan gerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan beri keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air.
SADA akan gerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan beri keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) menganggarkan sebanyak 251,800 akaun di tiga daerah di Kedah terjejas membabitkan Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling bermula Ahad.

SADA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa gangguan bekalan air tidak berjadual itu bermula pada jam 7.25 pagi disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu barrage Sungai Muda.

Menurutnya, kejadian luar jangka itu mengakibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Pinang Tunggal, Sungai Petani dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.

"Agihan semula bekalan akan dilaksanakan sebaik sahaja kerja kecemasan itu selesai atau sehingga paras Sungai Muda stabil.

"Situasi ini telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan anggaran hampir 252,000 akaun.

"Difahamkan, antara kawasan yang terjejas termasuk Taman Pinang Tunggal, keseluruhan kawasan Tikam Batu, Taman Desa Meranti, Kawasan Industri Kemuning, Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Taman Sejahtera dan Taman Berjaya.

"Kawasan lain termasuk Sungai Lalang, Bedong, seluruh kawasan pekan Sungai Petani, Amanjaya Zon Teratai, Cempaka, Melati, Mawar dan Kenanga, Bandar Laguna Merbok, Kampung Sungai Pasir, Kampung Teluk Wang, Kampung Bukit Kechil, Taman Cahaya PKNK dan Taman Sejati Indah.

"Di Kulim pula melibatkan Hospital Kulim, Taman Seroja, Taman Berjaya, Kampung Junjung, Taman Nenas,Taman Seladang dan di Baling membabitkan sebilangan kawasan yang terjejas," katanya.

Sehubungan itu jelasnya, bilik gerakan telah diaktifkan serta-merta dan pengguna boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan menerusi talian 04-7408976 (Ibu Pejabat), 04-4216798 (Wilayah Kedah Tengah) dan 04-4846770 (Wilayah Selatan) selain daripada platform sedia ada iaitu Pusat Informasi SADA di talian 1300-88-0017.

"SADA akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"SADA akan sentiasa bergerak seiring untuk melakukan pemantauan rapi ke atas paras Sungai Muda bersama pihak Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) sebagai badan yang berfungsi dan bertanggungjawab dalam mengawal selia dan membekal sumber air mentah kepada SADA,"jelasnya.

Dalam masa sama, SADA memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengguna akibat gangguan bekalan air tidak berjadual ini dan langkah proaktif sedang giat dijalankan bagi mengatasinya dengan kadar segera.

Maklumat berkenaan gangguan bekalan air tidak berjadual ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok Syarikat Air Darul Aman dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my.