Noktahkan permusuhan politik hari ini - Adam Adli

Adam Adli ketika menghadiri Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.
Adam Adli ketika menghadiri Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim berharap Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan mampu menoktahkan permusuhan politik yang berlarutan sejak puluhan tahun antara parti-parti sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menegaskan, sayap pemuda setiap parti bertanggungjawab menguruskan perbezaan sekali gus menyatakan komitmen bersama bagi menguatkan gabungan dibentuk menerusi kerajaan hari ini.

"Pemimpin di peringkat atas lebih mudah memahami dan membentuk kesefahaman dalam kerajaan kerana sering bertemu di Parlimen atau mesyuarat bersama, berbanding rakyat di peringkat akar umbi.

"Mereka (akar umbi) memerlukan suatu hala tuju yang jelas dan saya harap konvensyen ini sebagai permulaan kepada hala tuju lebih jelas, yang akan mengembalikan keyakinan golongan muda kepada politik sebagai wadah membina politik negara.

“Sebuah toleransi tidak boleh dilakukan dengan kepura-puraan, perlu datang dengan hati ikhlas," katanya ketika Konvensyen Pemuda Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.

Sementara itu Adam Adli memaklumkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang melaksanakan program perintis pendidikan demokrasi melibatkan 5,000 orang bermula bulan ini.

Beliau menjelaskan, program berkenaan bertujuan untuk memastikan golongan muda dilahirkan sebagai pengundi yang memainkan peranan dalam pembentukan pentadbiran kerajaan.

“Dalam menjayakan program, KBS telah mengadakan pertemuan bersama sayap pemuda parti, kita jemput juga wakil Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pas.

"Kita bentang apa yang dirangka membabitkan program pendidikan demokrasi untuk anak muda untuk mematangkan golongan belia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan berlangsung hari ini

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tak sangka markas UMNO jadi tempat penyatuan semua parti'

ARTIKEL BERKAITAN: MCA gesa kerajaan tawar inisiatif potongan cukai

ARTIKEL BERKAITAN: 'Bukan masa cari salah, tunding jari' - Mohd Hasbi

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kita pemimpin dari rakyat, bukan atas rakyat’ - Noraini

ARTIKEL BERKAITAN: Libatkan anak muda dalam proses buat keputusan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!