Banjir kilat: 'Nasib anak sedar awal'

Keadaan dalam rumah yang dinaiki air akibat banjir kilat didiami Zahari dan dua anak lelakinya
Keadaan dalam rumah yang dinaiki air akibat banjir kilat didiami Zahari dan dua anak lelakinya
A
A
A

JERANTUT - "Nasib baik anak sedar kalau tidak banyak barang tak dapat diselamatkan," kata seorang warga emas, Zahari Jusuh, 64, dari Felda Padang Piol di sini selepas rumahnya dinaiki air akibat kejadian banjir kilat pada awal pagi Ahad.

Bapa tunggal itu memberitahu, sebelum kejadian hujan lebat mula berlaku kira-kira jam tiga pagi sebelum sejam kemudian dikejutkan oleh anak lelakinya berusia 28 tahun.

"Saya tinggal bersama dua anak lelaki dan seorang lagi berusia 25 tahun adalah orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

"Syukur kerana anak tersedar dan kami berjaya menyelamatkan barang-barang utama ke tempat lebih tinggi," kata warga emas itu kepada Sinar Harian.

Banjir kilat yang turut melanda rumah Zahari surut sepenuhnya kira-kira jam 10 pagi pada Ahad.
Banjir kilat yang turut melanda rumah Zahari surut sepenuhnya kira-kira jam 10 pagi pada Ahad.

Ujar Zahari, beberapa buah motosikal dan kereta milik keluarganya berjaya diselamatkan ke tempat lebih selamat.

"Air dalam rumah naik lebih paras sekaki dan kalau luar rumah lebih lima kaki dan air surut sepenuhnya kira-kira jam 10 pagi tadi," ujarnya.

Selain rumah Zahari, difahamkan empat buah rumah lagi di rancangan itu terjejas akibat banjir kilat.

Sementara itu, nasib keluarga yang terjejas akibat kejadian tersebut mendapat perhatian Pengerusi Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud yang menyampaikan sumbangan sebanyak RM300 setiap keluarga.

"Ia untuk meringankan beban keluarga yang terjejas akibat banjir kilat dan sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat membantu mereka," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!