PPD Jasin tunggu peruntukan untuk baiki sekolah
JASIN - Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jasin memandang serius isu kerosakan pintu tandas, kelas, cermin tingkap di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota (SMKSM) seperti dilaporkan media.
Ketua Pegawainya, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan permohonan secara rasmi daripada pengetua untuk dipanjangkan kepada Jabatan Pendidikan negeri dan seterusnya ke peringkat Kementerian Pendidikan.
"Berhubung kerosakan pintu tandas, pintu kelas, cermin tingkap di sekolah terbabit memang PPD Jasin akui ia mesti dibaiki.
"Bagaimanapun, penyelenggaraan hanya dapat dibuat PPD Jasin bergantung kepada peruntukan diberi," katanya ketika mengulas laporan Sinar Harian Online semalam bertajuk Pelajar terpaksa 'tunai hajat' di tandas tiada pintu.
Laporan tersebut merujuk isu yang dibangkitkan Pengerusi Alumni sekolah itu selepas terkejut keadaan sekolah terbabit apabila terdapat banyak kelas rosak malah lebih teruk lagi, tandas pelajarnya juga tidak berpintu.
Keadaan itu mendorong mereka melancarkan tabung kutipan dana bagi membantu sekolah yang berusia hampir separuh abad.
Dalam pada itu, Mohd Azam, berkata, sepanjang tahun 2015 hingga 2018 sekolah terbabit menerima peruntukan penyelenggaraan berjumlah RM497,744.18.
"Manakala kerja-kerja penyelenggaraan tandas dan dewan juga dilaksanakan pada 2017 lalu dengan kos berjumlah RM56,943.20.
"PPD Jasin mengajak untuk berfikir sejenak, adakah setelah penyelenggaraan dilaksanakan, pintu tandas, pintu bilik darjah dan cermin tingkap itu tidak rosak oleh sebab vandalisme?," katanya.
Menurutnya, jika kerosakan pintu dan cermin itu disebabkan vandalisme bermakna pihaknya mesti membangunkan pendidikan yang memajukan nilai dan sahsiah murid, di samping ilmu pengetahuan dan kemahiran
"Oleh itu, saya ingatkan saranan yang memang sudah dilaungkan iaitu pendidikan ini bukan untuk 'A' semata-mata tetapi juga memajukan nilai.
"Kita perlu sedar bahawa nombor satu itu hanya untuk seorang tetapi nilai itu boleh dimiliki oleh semua," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Pelajar terpaksa 'tunai hajat' di tandas tiada pintu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!