Masih terbayang wanita peluk mayat anak

Lowena (gambar kecil) masih terbayang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lepas.
Lowena (gambar kecil) masih terbayang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lepas.
A
A
A

MELAKA - Meskipun telah lima bulan berlalu, namun operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam tragedi Batang Kali, Selangor masih segar dalam ingatan seorang pegawai bomba wanita.

Lowena Crystalynn William, 23, yang merupakan salah seorang Anggota Pasukan Khas Operasi Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Kuala Lumpur berkata, masih terbayang-bayang pelukan seorang mangsa wanita yang memeluk anaknya yang terkorban dalam kejadian runtuhan tanah itu.

Menurutnya, meskipun berdepan cabaran pergerakan tanah ketika operasi berkenaan, namun tidak menghalang dia dan pasukannya meneruskan operasi menyelamat pada malam hari sebelum menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan.

"Siapa yang tidak sedih melihat jasad tidak bernyawa lebih lagi kanak-kanak.

"Pengalaman dan cabaran itu memberi kekuatan untuk saya lebih menghargai kerjaya ini biarpun didominasi lelaki," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan bertemakan 'Bomba Tonggak Penyelamatan Negara' di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini pada Ahad.

Lowena (depan, dua dari kiri) bersama pasukannya di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir pada Ahad.
Lowena (depan, dua dari kiri) bersama pasukannya di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir pada Ahad.

Beliau yang berasal dari Papar Sabah, mengakui sejak zaman persekolahan berminat dengan pasukan beruniform tersebut.

Menurutnya, walaupun ketika itu dia lebih aktif dalam sukan olahraga, namun tidak menghalang impiannya untuk menyertai pasukan wira merah berkenaan.

"Kerjaya ini memang berisiko tinggi namun dengan latihan dan kemahiran yang diberikan akan dapat kita hadapi risiko yang mendatang," katanya yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik.

Terdahulu, Lowena yang merupakan anggota STORM Kuala Lumpur menyertai gimik penyelamatan seorang kanak-kanak yang terperangkap akibat tanah runtuh.

Persembahan kira-kira 10 minit itu mendapat tepukan ramai oleh ribuan pengunjung yang memeriahkan sambutan tersebut.

Selain, itu sebanyak 30 kontinjen dan 54 unit jentera membabitkan 1,330 peserta menjayakan sambutan dan perarakan hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!