Ribuan pengguna di Seberang Perai alami gangguan bekalan air
GEORGETOWN - Ribuan pengguna di tiga daerah iaitu di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) dan kawasan selatan Pulau Pinang akan mengalami gangguan bekalan air bermula Ahad hingga Rabu.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam satu kenyataan berkata, sesetengah pengguna di kawasan terjejas akan mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air selama empat hari.
Menurut PBAPP, ini kerana, kejadian tidak diduga berlaku di Sungai Muda, Kedah menyebabkan paras air mentah di muka sauk Lahar Tiang PBAPP menurun ke bawah 1 meter, yang mana, paras normal adalah melebihi 2 meter.
"Penurunan mendadak itu tidak diketahui puncanya dan disebabkan kejadian itu, PBAPP tidak dapat mengabstrakkan air mentah dari Sungai Muda. Sungai ini merupakan sumber air mentah utama Pulau Pinang.
"Lebih daripada 80 peratus air mentah yang diambil PBAPP setiap hari untuk menghasilkan air terawat berasal dari Sungai Muda. Sumber air mentah dari Sungai Muda disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua. LRA Sungai Dua ialah LRA terbesar dan terpenting di Pulau Pinang. Air terawatnya dibekalkan ke seluruh Seberang Perai dan juga ke kawasan selatan Pulau Pinang," katanya pada Ahad.
PBAPP berkata, disebabkan kejadian tidak diduga itu, di LRA Sungai Dua tidak dapat mengeluarkan isipadu biasa iaitu kira-kira 1,000 juta liter sehari (JLH) air terawat.
"PBAPP sedang menyalurkan air dari Empangan Mengkuang untuk menyokong pengeluaran air di LRA Sungai Dua. Bagaimanapun, pengeluaran kami terhad kepada 300 JLH dan tidak mencukupi untuk menampung kekurangan dari Sungai Muda.
"Buat masa ini, pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua dihadkan kepada 600JLH hingga 650JLH, sehingga PBAPP boleh menyambung semula operasi pengabstrakan air mentah 100 peratus di Lahar Tiang. Kita tahu bila pemulihan ini akan berlaku," katanya.
Dalam pada itu, PBAPP berkata, difahamkan siasatan sedang dijalankan oleh Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Lembaga Bekalan Air Pulau Pinang (BKSA) pada Ahad.
"Pasukan kejuruteraan PBAPP akan bekerja sepanjang masa untuk mengoptimumkan operasi pengabstrakan air mentah di muka sauk Lahar Tiang dan operasi pengeluaran air di LRA Sungai Dua. Kami akan merawat air sebanyak mungkin dalam keadaan sekarang untuk membekalkan kepada seramai mungkin pengguna di Pulau Pinang.
"Bagaimanapun, kami tidak pasti bila perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang akan dinormalisasi sepenuhnya untuk semua pengguna kerana tidak pasti bila paras sungai Sungai Muda akan pulih kepada 2 meter atau lebih tinggi. Buat masa ini, kami juga tidak mengetahui apa yang berlaku di Sungai Muda, di hulu muka sauk Lahar Tiang," katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya akan terus memaklumkan kepada Kerajaan Pulau Pinang dan rakyat negeri ini mengenai perkara tersebut secara berkala, melalui media massa dan media sosial.
"PBAPP memohon kerjasama dan sokongan baik rakyat Pulau Pinang. Senario ini disebabkan oleh keadaan yang tidak diduga.
"Setahu PBAPP, keadaan tidak di duga ini bukan hanya berlaku di Pulau Pinang. Bagaimanapun, PBAPP sedang melakukan yang terbaik untuk menangani kesan negatif di negeri ini," katanya.
Difahamkan, penurunan paras air Sungai Muda itu berpunca daripada kerosakan pintu kawalan air (pintu barrage) Sungai Muda.
Kejadian itu turut menyebabkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengeluarkan notis bahawa berlaku gangguan air tidak berjadual di tiga daerah di Kedah iaitu di Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan di Baling.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Pulau Pinang bakal mengalami krisis bekalan air sekiranya pengguna domestik masih tidak mengamalkan penjimatan dalam penggunaan air berikutan kekurangan taburan hujan di kawasan tadahan sejak beberapa bulan lalu.
Kapasiti efektif dua empangan utama di bahagian pulau iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang kini berada pada tahap yang membimbangkan.
Sekiranya tanpa hujan di kawasan tadahan, Empangan Air Itam hanya bertahan sehingga 40 hari manakala Empangan Teluk Bahang pula, hanya 146 hari.
Pada Isnin, PBAPP mengesyorkan operasi pembenihan awan gelombang kedua di Pulau Pinang dalam masa terdekat berikutan rizab air mentah kedua-dua empangan di pulau itu masih di bawah 50 peratus.
PBAPP berkata, operasi pembenihan awan gelombang pertama yang dilakukan pada 2 hingga 4 Mei lalu hanya menghasilkan jumlah hujan yang sedikit menyebabkan kapasiti efektif empangan masih rendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!