IPOH - Seorang lelaki Bangladesh ditahan polis selepas disyaki melakukan seks luar tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun di dalam tandas sebuah pasar raya di Station 18 di sini, semalam. Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa membuang air kecil sendirian sementara ibunya berusia 38 tahun menunggu di hadapan tandas lelaki. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, ibu mangsa menyedari perbuatan itu selepas melihat muka anaknya pucat sejurus keluar dari tandas. “Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipanggil suspek yang berusia 29 tahun masuk ke dalam bilik tandas dan bertindak melondehkan seluar mangsa serta melakukan seks oral sebanyak dua kali. “Suspek kemudiannya melepaskan mangsa dan kemudian memberitahu kepada ibunya mengenai perbuatan suspek,” katanya. Menurutnya, suspek bertindak menguncikan diri dalam tandas selepas perbuatannya diketahui oleh keluarga mangsa. “Ibu mangsa menunggu suspek di luar tandas dan mangsa sempat menunjukkan pelakunya. Suspek yang ternampak mangsa bersama ibunya bertindak masuk semula dan kunci pintu tandas. “Kejadian itu disedari oleh orang awam yang turut membantu menangkap suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya. Mohd Ali berkata, suspek yang bekerja sebagai pemotong buah direman selama tujuh hari sehingga 5 Mei ini untuk disiasat di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan.