Ular sawa 10kg dalam mangkuk tandas

Ular sawa berlingkar di dalam mangkuk tandas sebuah rumah di Kampung Wakaf, Pasir Puteh pada Ahad.
Ular sawa berlingkar di dalam mangkuk tandas sebuah rumah di Kampung Wakaf, Pasir Puteh pada Ahad.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang lelaki dikejutkan dengan kemunculan seekor ular sawa seberat 10 kilogram (kg) di dalam mangkuk tandas rumahnya di Kampung Wakaf di sini, pada Ahad.

Kehadiran reptilia sepanjang dua meter itu disedari oleh pemilik rumah berkenaan selepas dikejutkan dengan bunyi seolah-olah serpihan kayu yang jatuh dari atap pada jam 1.05 tengah hari.

Pegawai Pertahanan Awam Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.05 petang.

"Sejurus menerima panggilan kecemasan, lima anggota termasuk seorang pegawai telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menangkap ular sawa berkenaan.

"Setiba di lokasi, kami dapati ular tersebut sedang berlingkar di dalam tandas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurut beliau, reptilia tersebut berjaya ditangkap oleh anggotanya menggunakan penjerut, pengepit dan pengait.

Dalam perkembangan lain, ujarnya, setakat Januari hingga Ahad, sebanyak 60 ekor ular sawa telah berjaya ditangkap.

Nik Mohd Nor memberitahu, cuaca panas menyebabkan haiwan tersebut keluar dari tempat biasa untuk mencari kawasan yang lembap dan sejuk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!