Isteri maut, suami cedera bertembung treler hilang kawalan

Keadaan kereta yang remuk selepas terlibat kemalangan di Jalan Kota Tinggi, Kampung Bukit Samsu, Kota Tinggi pada Ahad. - Foto ihsan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi
Keadaan kereta yang remuk selepas terlibat kemalangan di Jalan Kota Tinggi, Kampung Bukit Samsu, Kota Tinggi pada Ahad. - Foto ihsan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 43.5 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini pada Ahad.

Kejadian berdekatan sebuah sekolah memandu itu berlaku pada jam 8.10 pagi dan mengorbankan Masroha Ali, 37, manakala suaminya yang memandu kereta Proton Waja, Mohd Fazuan Abu Hassan, 38, mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kemalangan berlaku apabila treler jenis Scania yang menghala ke Johor Bahru dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Treler berkenaan bertembung dengan kereta Proton Waja mengakibatkan pemandu kereta tersebut cedera parah iaitu patah kedua-dua kaki dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

"Isterinya pula cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Serbuk kapur berterabur selepas kemalangan membabitkan treler dan kereta di Jalan Kota Tinggi, Kampung Bukit Samsu, Kota Tinggi pada Ahad. - Foto ihsan bomba Johor
Serbuk kapur berterabur selepas kemalangan membabitkan treler dan kereta di Jalan Kota Tinggi, Kampung Bukit Samsu, Kota Tinggi pada Ahad. - Foto ihsan bomba Johor

Beliau berkata, pemandu treler tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencing mendapatinya negatif.

Jelasnya, semakan mendapati pemandu treler itu tidak mempunyai rekod lampau, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Sementara itu, komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Tinggi II Rafiee A Karim berkata, tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera 'Fire Rescue Tender' (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah 'Fire Response Vehicle' (FRV).

"Kemalangan tersebut mengakibatkan suami isteri tersebut tersepit di tempat duduk masing-masing. Wanita itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan sebelum mayat diserahkan kepada polis.

Tambah beliau, operasi berkenaan ditamatkan pada jam 9.30 pagi.

Difahamkan treler berkenaan membawa serbuk kapur dan kemalangan tersebut mengakibatkan muatan bahan tersebut yang digunakan untuk pertanian berterabur atas jalan raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!