Undian PRU Thailand ditutup, kiraan bermula

Gelagat dua lelaki memakai pakaian adiwira Spiderman mengadakan persembahan di luar pusat undian di Bangkok. - AFP
Gelagat dua lelaki memakai pakaian adiwira Spiderman mengadakan persembahan di luar pusat undian di Bangkok. - AFP
A
A
A

BANGKOK - Pengiraan undi sedang dijalankan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand dengan parti pembangkang prodemokrasi dijangka menewaskan kerajaan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha yang disokong tentera konservatif selepas hampir sedekad berkuasa.

Tinjauan pendapat menunjukkan bekas ketua tentera dan ketua rampasan kuasa, Prayut bakal kalah besar selepas pertembungan dengan generasi muda yang mahu perubahan dengan kumpulan tradisi yang menyokong raja.

Parti pembangkang utama Parti Pheu Thai yang dipimpin anak bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra berada di hadapan dalam tinjauan pendapat akhir.

Pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang (waktu tempatan) selepas hari pengundian didapati berjalan lancar di mana tiada masalah besar yang dilaporkan media Thailand.

Keputusan awal dijangka diketahui lewat petang hari ini walaupun jumlah akhir kerusi yang dimenangi oleh setiap parti tidak secara rasmi disahkan selama beberapa minggu.

Selepas membuang undi di Bangkok, calon utama Parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra tidak menunjukkan beliau gementar dalam pilihan raya ini.

"Hari ini akan menjadi hari yang terbaik. Saya mempunyai tenaga yang sangat positif mengenainya, kata calon perdana menteri berusia 36 tahun kepada pemberita.

Jutaan rakyat Thai membuang undi di 95,000 pusat mengundi terletak di seluruh negara.

Difahamkan, peratusan keluar mengundi sebanyak 90 peratus dalam pusingan awal pengundian Ahad lalu yang sekali gus menunjukkan pengundi mencari perubahan, tetapi pembangkang berdepan perjuangan yang sukar untuk mendapatkan kuasa kembali. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!