Kerajaan Anwar boleh berubah bila-bila masa - Pas

 Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mendakwa kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh berubah bila-bila masa termasuk menggadaikan prinsip dan janji yang dilaungkan sebelum ini.

Ketua Penerangannya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, ia berlaku semata-mata bagi memenuhi kerakusan nafsu mereka untuk terus berkuasa.

"Sikap cakap tidak serupa bikin ini yang menjadikan gelombang penolakan rakyat kepada Perdana Menteri terus kuat dan membesar apabila semakin ramai yang tersedar dengan penipuan demi penipuan oleh sosok tubuh yang dahulunya dijulang sebagai hero negara.

"Rakyat tidak lupa kepada janji manis untuk menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam selepas menjadi Perdana Menteri yang kali terakhir dilaungkan dengan penuh angkuh ketika Kongres Nasional PKR pada 17 Julai 2022.

"Namun sehingga ke hari ini janji manis itu terus tinggal janji. Lebih perit lagi, Perdana Menteri pada 6 Mac yang lalu menyatakan bahawa kerajaan tiada berhasrat untuk menurunkan had harga siling petrol di negara ini," katanya menerusi siaran di Facebooknya pada Ahad.

Tambah Khairil Nizam, Anwar juga pada 22 Disember tahun lalu pernah menegaskan bahawa kerajaan akan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran bagi mengelakkan pembaziran wang kerajaan.

Namun, ujarnya, syawal tahun ini tetap diadakan majlis tersebut yang bukan sekadar satu bahkan digandakan kepada enam majlis rumah terbuka kerajaan di negeri berbeza.

"Ia jelas menyanggah prinsip penjimatan wang kerajaan yang dilaungkan beliau beberapa bulan yang lalu.

"Bukan sekadar itu, rakyat juga masih ingat laungan prinsip Anwar yang tegas menolak nepotisme dan kronisme di dalam pentadbiran.

"Namun prinsip tersebut tergadai begitu sahaja apabila Perdana Menteri itu melantik anaknya sendiri sebagai penasihat selain lantikan politik bertimbun-timbun yang telah dibuat oleh kerajaan pada hari ini," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!