Perlu cari kaedah baharu gantikan sistem OPR
RAKYAT khususnya daripada golongan M40 dan B40 terus kelu apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada minggu kedua Syawal menjadikan angka keseluruhan tiga peratus setakat ini.
Walaupun BNM sering kali menegaskan kenaikan bertujuan mengimbangi risiko inflasi dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, namun secara realitinya ungkapan 'mengimbangi risiko inflasi dan pertumbuhan ekonomi ' itu ibarat tidak menyebelahi kehidupan sebenar mereka yang berada di jalanan kerana ia tidak dirasai secara realiti.
Apa pun kenaikan OPR menyebabkan rakyat semakin bercelaru dari segi katung atau poket kewangan semasa kerana kos pinjaman akan semakin naik dan menjadi semakin terbeban dengan peningkatan harga barang, kos sara hidup dan komitmen ansuran yang lain.
Sebelum ini pakar melihat kenaikan OPR tidak dapat dielakkan kerana perkembangan global yang banyak dipengaruhi kadar faedah Amerika Syarikat (AS).
Bertitik tolak kepada situasi itu, sama ada faktor dalaman dan faktor luaran, sesuatu perlu dilakukan. Dengan kata lain mencari kaedah bagi mengurangkan tekanan OPR yang dilihat tiada penghujungnya sehingga tahun 2023.
Penganalisis tempatan berpendapat, bank pusat perlu mencari mekanisme baharu atas dasar monetari tempatan yang bergantung penuh kepada pertumbuhan dalam negeri dan keadaan kewangan domestik.
Di sebalik itu, mungkin pakar ekonomi tempatan, pakar kewangan, penggubal dasar perlu duduk semeja mencari kekuatan domestik bagaimana mengelak dan mengimbangi agar situasi kewangan serta ekonomi rakyat tidak tertekan.
Ini kerana bank pusat sendiri mengekalkan sasaran inflasi kekal tinggi daripada paras sebelum pandemik yang boleh menjangkau hingga 3.8 peratus tahun ini.
Sistem kewangan semasa yang berdasarkan sistem kapitalis perlu 'direset', sistem kewangan perbankan yang menjadi tulang belakang ekonomi perlu dirombak.
Perbankan Islam perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan membantu mencari penyelesaian dalam isu OPR ini.
Sesuatu perlu dilakukan dalam mengurangkan tekanan atau mengimbangi agar sistem OPR tidak terus membebankan rakyat walaupun ada manfaat kepada pihak pendeposit tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!