Keterlibatan semua pihak mampu jayakan agenda reformasi
SHAH ALAM - Sikap keterbukaan semua pihak terutamanya ahli Parlimen, pemimpin kerajaan dan pembangkang untuk berada pada satu pentas, bagi membincangkan soal memperkasa polisi serta dasar berkaitan antirasuah dan tadbir urus negara, dilihat mampu menjayakan agenda reformasi yang diinginkan dan diperlukan untuk rakyat.
Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM), Syed Ibrahim Syed Noh turut menyambut baik keterlibatan semua pihak pada pelancaran sidang media, KRPPM-Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) pada Selasa ini.
Beliau percaya Malaysia akan lebih 'bercahaya' pada suatu masa kelak dengan adanya kesungguhan pihak-pihak berkaitan termasuk ahli-ahli politik untuk menjayakan reformasi.
Selain itu, katanya, keterlibatan badan bukan kerajaan (NGO), pakar dan rakyat pada pelancaran itu juga, secara tidak langsung turut membantu bagi membolehkan ahli politik di negara ini melakukan perubahan.
“Meskipun pembuat dasar hanya melibatkan wakil-wakil rakyat namun input akar umbi termasuk NGO wajar dianggap bermanfaat untuk perubahan yang mendalam.
“Ini lebih-lebih lagi dalam konteks reformasi tata kelola, antirasuah dan perundangan di mana ekosistemnya sangat luas,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, KRPPM-IGAR bersifat rentas parti dan diperkukuh dengan kerjasama pakar serta NGO merupakan antara sendi penting dalam agenda reformasi.
“Saya percaya keterlibatan dan penerimaan lebih banyak pihak hinggalah ke akar umbi boleh memacu masa hadapan negara yang lebih baik,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!