Ombak besar, Pulau Pangkor tangguh aktiviti laut

Tangkap layar rakaman video dikongsi pengguna media sosial menunjukkan ombak besar berlaku di Pantai Teluk Nipah pada Ahad.
Tangkap layar rakaman video dikongsi pengguna media sosial menunjukkan ombak besar berlaku di Pantai Teluk Nipah pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Aktiviti rekreasi dan sukan laut di kawasan pantai sekitar Pulau Pangkor dihentikan buat sementara waktu susulan keadaan laut bergelora dipercayai kesan Siklon Mocha.

Keadaan itu dikongsi penduduk setempat menerusi beberapa rakaman video menunjukkan laut bergelora menghasilkan ombak lebih besar berbanding situasi biasa hingga melimpah ke laluan kenderaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, ombak besar melanda kawasan perairan itu paling ketara di Pantai Teluk Nipah sejak empat hari lalu.

Menurutnya, keadaan itu dipengaruhi cuaca dihadapi negara ketika ini yang berada dalam fasa peralihan monsun Barat Daya.

"Dalam fasa peralihan ini, beberapa tempat akan menerima tiupan angin yang meningkatkan potensi kejadian ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang dalam masa yang singkat.

"Atas faktor keselamatan, sebarang aktiviti sukan air di kawasan Pangkor ini dihentikan sementara dan orang ramai telah dinasihati tidak menjalankan aktiviti di kawasan pantai terutama berlakunya ombak besar," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, pemantauan pihak berkuasa dilakukan dari semasa ke semasa.

"Bendera merah juga telah dinaikkan sebagai peringatan berjaga-jaga kepada orang awam," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Muhammad Shukur Jamaludin berkata, setakat ini keadaan terkawal tanpa sebarang insiden kecemasan di air.

Katanya, pemantauan ketat telah dilakukan di kawasan tumpuan ramai di sekitar Pantai Teluk Nipah dan Pasir Bogak bagi memastikan keselamatan pengunjung.

"Setakat ini belum ada lagi panggilan kecemasan mengenai insiden di air, namun kita sarankan orang ramai elakkan aktiviti air sehingga keadaan reda agar tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini.

"Bagi mereka yang berada berhampiran air, dinasihatkan untuk sentiasa memakai jaket keselamatan," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama untuk perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selat Melaka Utara.

Jangkaan angin kencang barat laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter berlaku di kawasan perairan berkenaan dan berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!