Komitmen, ketegasan PM jelas sejak diberi mandat - Penyelidik

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Komitmen dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menguruskan masalah rakyat itu dapat dilihat jelas sejak diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) lalu.

Pegawai penyelidik kanan Merdeka Center, Fakhrurrazi Rashid berpendapat, masyarakat hari ini sudah dapat menerima Kerajaan Perpaduan yang berusaha memastikan kestabilan politik dan ekonomi di tahap selesa.

“Ini kerana rakyat tidak mahu lagi mendengar perkara tentang tekanan atau percaturan politik yang sebenarnya tidak menguntungkan negara atau rakyat itu sendiri.

“Kalau ada sekalipun yang ingin mencabar kedudukan kerajaan dan sebagainya boleh dikemukakan dalam Parlimen. Ini telah dibuat oleh Kerajaan Perpaduan seawal pembentukannya dengan masuk ke Parlimen dan buat undi percaya dan ini merupakan satu proses baru dalam politik Malaysia,” katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi terbitan Astro Awani pada Ahad.

Sementara itu, Fakhrurrazi berpendapat, Kerajaan Perpaduan perlu dikekalkan sehingga tamat tempoh penggal lima tahun bagi memastikan pemain industri pelaburan yakin dengan suasana politik negara seterusnya bakal membawa manfaat kepada ekonomi.

Tambahnya, tempoh ini juga disifatkan genting bagi Perdana Menteri serta jemaahnya untuk mempersembahkan keterangkuman visi yang dijanjikan kepada rakyat sebelum PRU lalu.

“Masalah kita pada hari ini adalah kita masih terpengaruh dengan politik lama, kalau kerajaan negeri berubah Kerajaan Persekutuan kena berubah. Saya harus perkara ini tidak seharusnya berlaku.

"Kita harus lihat negara jiran seperti Indonesia, Filipina di mana pilihan raya berlaku setiap bulan di mana kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, mereka ada perbezaan pandangan tetapi tidak sampai untuk jatuhkan kerajaan atau menyebabkan kerajaan itu terbubar.

"Untuk keputusan pilihan raya akan datang, kita perlu bersepakat bahawa Kerajaan Perpaduan perlu ada hingga tamat penggal itu sendiri. Kerana kestabilan yang kita mahukan. Bukan saja masyarakat tetapi industri juga. Industri juga tertanya, bagaimana kita nak melabur sekiranya politik di Malaysia tidak begitu stabil,” katanya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!