Kastam tumpas cubaan seludup dadah RM3.3 juta
KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.3 juta sepanjang tempoh lima tahun bermula 2019 lalu.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan itu melibatkan dadah jenis methamphetamine sebanyak 271,305 biji yang dianggarkan berjumlah RM2.7 juta dan ganja seberat 248 kilogram (kg), RM620,000.
"Kejayaan ini adalah hasil risikan dan siasatan yang telah dilakukan oleh pihak kami dan setiap kes yang diperolehi mendapati dadah-dadah tersebut dibawa masuk melalui sempadan negara di atas permintaan semasa.
"Hal ini bermaksud, jika ada permintaan dari pelanggan barulah barangan itu akan dibawa masuk ke negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa meningkatkan pemantauan dan rondaan serta risikan di semua pintu masuk sepanjang sempadan negara bagi mengekang penyeludupan ini.
Ujarnya, JKDM tidak akan berkompromi dengan aktiviti penyeludupan yang berlaku dan kepada sesiapa yang telah melakukan kesalahan akan diambil tindakan tegas mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
Wan Jamal memberitahu, tindakan tegas dan pendakwaan mahkamah akan dilaksanakan bagi mereka yang didapati bersalah dalam melakukan kegiatan penyeludupan ini.
"Kami juga sentiasa bekerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan di sempadan bagi membanteras penyeludupan dadah yang masuk ke dalam negara.
"Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain," ujarnya.
Beliau berkata, JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!