Azam Baki tidak pilih puak atau parti - PM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa sikap Tan Sri Azam Baki yang menjalankan tugas dan siasatan tanpa mengira puak atau parti menjadi antara faktor kerajaan melanjutkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, belum pernah dalam sejarah pejabat menteri digeledah SPRM bagi menjalankan siasatan.
"Atas kapasiti itu kita teruskan khidmat beliau," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di bangunan Perdana Putra di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kontrak Azam yang dilanjutkan setahun.
Anwar berkata, Azam diberi kebebasan untuk menerajui SPRM dalam usaha membanteras pengalahgunaan, salah laku dan rasuah.
"Beliau dilantik semasa Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri).
"Dari segi kerja saya bagi kelonggaran sebagai pihak berkuasa kepada SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk jalankan tugas. Beliau jalankan tugas memuaskan," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan semula azam selama setahun berkuat kuasa 12 Mei lalu.
Azam, 60, mula dilantik ke jawatan itu sejak 9 Mac 2020 bagi menggantikan Ketua Pesuruhjaya sebelum itu, Latheefa Koya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!