Bapa rayu bantuan susu, lampin
KUALA KURAU - Seorang bapa buntu memikirkan nasib anak bongsu, Muhammad Aizat Jamaluddin, 25, yang kini terlantar sakit akibat serangan strok pada awal April lalu.
Lebih memilukan, Jamaluddin Sain,59, yang merupakan pesawah, sebak melihat keadaan anak keempatnya itu kini dibuang tempurung kepala setelah mengalami pendarahan sebelum ini.
Menurutnya, dia amat memerlukan bantuan sekurang-kurangnya bekalan susu formula khas setelah tidak lagi mampu membelinya berikutan harga mahal dan Muhammad Aizat kini bergantung kepadanya untuk terus hidup.
"Harga susu itu sekitar RM60 hingga RM80 setin dan hanya mampu bertahan selama empat hari sahaja. Kalau ada orang nak bantu, dapat bekalan susu dan lampin dewasa pun sudah bersyukur.
"Selain bekalan susu setiap empat jam, Mohamad Aizat juga perlu diberi penjagaan khusus 24 jam sehari, tidak boleh terlalu panas dan perlu diurut tubuh badannya bagi mengelakkan dia terus kekejangan.
"Saya harap ada pihak dapat bantu kami bagi meringankan beban ditanggung kami sekeluarga," katanya ditemui media di rumahnya di Parit Sungai Burong,Tanjung Piandang, di sini.
Menceritakan kembali kejadian membabitkan anaknya, Jamaluddin menjelaskan sebelum ini Muhammad Aizat tidak pernah mengalami masalah kesihatan sehinggalah dia secara tiba-tiba mengalami kekejangan.
"Menyedari sesuatu buruk sedang berlaku terhadapnya, kami segera membawanya ke Hospital Parit Buntar namun dirujuk ke Hospital Taiping dan seterusnya dibawa ke Hospital Ipoh.
"Sebaik menerima rawatan di sana, doktor bertugas mengesahkan dia diserang strok dan terdapat pendarahan dalam kepala yang perlu dibedah segera," katanya.
Jamaluddin berkata, seminggu selepas mendapat rawatan di sana, anaknya dihantar ke Hospital Taiping dan kini hanya terlantar di rumah dan diawasi ahli keluarga secara bergilir-gilir.
Menurutnya, keadaan anaknya lumpuh seluruh badan turut mengundang kebimbangan pihaknya untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Taiping pada 24 Mei ini.
Mana-mana individu atau pihak yang ingin membantu keluarga ini boleh berhubung terus dengan Jamaluddin di talian 011-5965 5330 atau menyalurkan terus sumbangan pada akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 08235-29-00004851-4 atas nama Jamaluddin Sain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!