Janji temu rawatan pergigian melalui MySejahtera - KKM
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperluaskan janji temu melalui aplikasi MySejahtera kepada perkhidmatan kesihatan pergigian mulai hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, langkah itu akan mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pergigian dan kemudahan akses ke klinik pergigian selain daripada kaedah ‘walk-in’ yang masih lagi diteruskan.
"Melalui inisiatif ini juga, orang awam boleh menempah perkhidmatan pemeriksaan kesihatan pergigian dan merancang lawatan ke fasiliti kesihatan pergigian mengikut kesesuaian masa," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, KKM akan memperkenalkan fungsi peringatan secara automatik melalui aplikasi MySejahtera yang mana, orang awam akan diberi notifikasi untuk hadir pada masa dan tarikh yang telah ditempah.
"Pelanggan akan diberikan pemeriksaan, perundingan atau rawatan pergigian pada janji temu pertama tersebut," katanya.
Menurut Dr Muhammad Radzi, sekiranya rawatan susulan diperlukan, penetapan janji temu seterusnya akan diaturkan.
"Bagi kes kecemasan pergigian seperti sakit gigi atau kecederaan pada tisu muka atau gigi, orang awam boleh hadir terus ke mana-mana klinik pergigian berdekatan bagi mendapatkan rawatan kecemasan tanpa perlu melakukan tempahan janji temu," tambah beliau.
Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan kaedah janji temu menerusi MySejahtera di fasiliti kesihatan primer KKM.
Menurutnya, pendigitalan sistem janji temu perkhidmatan kesihatan pergigian melalui aplikasi MySejahtera ini berpotensi meningkatkan efisiensi sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan pergigian negara serta tahap kesihatan pelanggan.
"Ia mengukuhkan penjagaan kendiri dan saringan tahap kesihatan pergigian sebagai langkah pengesanan awal penyakit serta pencegahan penyakit pergigian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!