Tun M kata Anwar retorik buat tuduhan tanpa bukti
SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang retorik kerana hanya membuat tuduhan di atas pentas politik tanpa memberikan bukti.
Justeru, bekas Perdana Menteri itu menggesa Ahli Parlimen Tambun tersebut mengemukakan bukti terhadap kenyataan yang mendakwa beliau menggunakan kuasa untuk memewahkan diri dan keluarga.
Dr Mahathir juga sekali lagi mengulangi pendirian tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengisytihar harta kerana tegasnya, tiada perkara yang perlu disorokkan.
“Datuk Seri Anwar kata dia telah isytihar harta. Saya juga telah isytihar harta beberapa kali semasa jadi Perdana Menteri dan ini juga pengetahuan umum.
“Yang jadi masalah ialah Anwar telah beberapa kali tuduh saya salah guna kedudukan semasa saya jadi Perdana Menteri untuk kayakan diri saya dan keluarga saya.
"Maka saya ulang sekali lagi, tunjuklah bukti. Setakat cakap di atas pentas politik tanpa ada bukti ini siapa pun boleh buat,” katanya dalam satu hantaran pada Isnin.
Pada 6 Mei lalu, Anwar mencabar bekas pemimpin dan pembesar yang mendapat keuntungan ketika era pemerintahan mereka untuk berkongsi kekayaan dengan orang Melayu yang lain.
Jelas Anwar, ini kerana pemimpin-pemimpin berkenaan dilihat hanya mengaut keuntungan untuk diri sendiri dan keluarga ketika pentadbiran masing-masing.
Namun begitu perkara tersebut dinafikan Dr Mahathir dengan mencabar Anwar untuk membuktikan dakwaan beliau memiliki sejumlah wang seperti yang dikatakan.
Jelasnya, sekiranya Anwar gagal mengemukakan bukti, beliau akan mengambil tindakan mahkamah.
“Saya telah ambil tindakan mahkamah dan sehingga hari ini dia (Anwar) tidak pernah tunjuk bukti selain ke sana ke mari buat tuduhan terhadap saya.
“Sebaliknya, dia minta saya tunjuk bukti harta saya. Dia yang tuduh saya dan dia minta saya pula tunjuk bukti,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!