Kenapa adik tak ada daddy?
[DIKEMASKINI] PELAKON tinggi lampai, Rita Rudaini berkongsi kisah anak keduanya, Airit Qaqa Arjuna, 8 tahun, yang pernah mempersoalkan mengapa dia tidak mempunyai bapa seperti rakan sebaya lain.
Menurut Rita, 43, dia memilih untuk menjawab soalan anak itu dengan berhati-hati agar ia menjadi kekuatan dan semangat buat Arjuna sampai bila-bila.
"Sayangku Arjuna, tidak pernah lelah membesarkan kamu. Di usia begini kamu di pilih DIA untuk diberi ujian... Kerana DIA tahu kamu kuat.
"Kamu pernah tanya ketika waktu itu usia kamu enam tahun 'kenapa adik tak ada daddy? Kawan adik kat sekolah semua ada daddy'...
"Berhati-hati mommy jawab supaya jawapan mommy adalah kekuatan dan semangat kamu sampai bila-bila.
"Sebab adik lebih special daripada kawan-kawan adik. ALLAH sayang adik, ALLAH bagi adik kuat dari kecil lagi. Dia sengih tapi cukup buat hati mommy menangis di dalam," tulisnya di Instagram.
Perkongsian itu dibuat Rita sempena menyambut ulang tahun kelapan Arjuna hari ini.
Malah Rita juga turut mendoakan anaknya itu sentiasa dijaga ALLAH SWT.
"Selamat ulang tahun sang Arjuna ku yang luar biasa. Tiada apa yang mommy harapkan. Cuma doa mommy, adik sentiasa dijaga-NYA.
"Terima kasih kerana hadir temani hidup mommy. Terima kasih ALLAH kerana pinjamkan adik kepadaku," luahnya.
Rita mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak pada tahun 2008, namun bercerai pada September 2013.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 10, dan Arjuna, yang kini dibawah jagaan Rita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!