Rebut peluang tanam roselle

Sabariah (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima Tokoh Belia Daerah Bera, Hanis Zaris Mohd Nazeri, 28 pada Majlis Perasmian Program Aktiviti Ambang Hari Belia Negara Bera 2023 di Kompleks Rakan Muda, di Bera, pada Sabtu.
Sabariah (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima Tokoh Belia Daerah Bera, Hanis Zaris Mohd Nazeri, 28 pada Majlis Perasmian Program Aktiviti Ambang Hari Belia Negara Bera 2023 di Kompleks Rakan Muda, di Bera, pada Sabtu.
A
A
A

BERA - Golongan belia di negeri ini diminta tidak melepaskan peluang meneroka dan mengusahakan tanaman roselle yang dilihat dapat menjana sumber ekonomi masing-masing.

Exco Pembangunan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Sabariah Saidan memberitahu, banyak kelebihan dan manfaat kesihatan tanaman itu sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan.

Menurutnya, setakat ini terdapat 40 pengusaha tanaman itu di Rompin dan telah membuktikan kemampuan mereka menjana pendapatan selepas ia dapat dieksport ke luar negara.

"Saya akan ke Rompin untuk melihat sendiri industri itu dalam masa terdekat ini, dan akan bawa industri ini ke Bera.

"Ia supaya dapat merancakkan lagi industri roselle di sini, selain melahirkan usahawan dalam bidang ini," jelasnya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Aktiviti Ambang Hari Belia Negara Bera 2023, di Kompleks Rakan Muda di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, tanaman roselle tidak memerlukan kawasan yang khusus sebaliknya boleh ditanam di sekeliling rumah atau di kawasan tanah terbiar.

Ujar Sabariah lagi, bakal usahawan tidak perlu terlalu memikirkan modal yang terlalu besar dan secara tidak langsung, dapat menyelamatkan tanah-tanah terbiar di daerah ini.

"Selepas ini, mana-mana belia yang berminat untuk mengusahakan tanaman roselle ini, kita akan beri seminar atau kursus berkenaan supaya mereka boleh menjana pendapatan.

"Sepokok roselle boleh menghasilkan buah sehingga lebih sekilogram pada harga antara RM2 hingga RM3 bagi harga borong," ujar beliau.

Jelas Sabariah, selain menjana sumber ekonomi, tanaman roselle juga boleh dijadikan lanskap di kawasan rumah masing-masing memandangkan kaedah penanaman yang mudah.

Roselle atau lebih dikenali sebagai asam paya, kaya dengan vitamin C, B1, B2 dan D dianggap sebagai 'pokok emas’ kerana setiap bahagiannya mempunyai keistimewaan tertentu.

Keistimewaan tanaman itu bermula daripada buah, daun hinggalah ke batang pokok berkenaan yang boleh dijadikan sajian atau untuk tujuan perubatan tradisional yang mudah ditanam dan mengeluarkan hasil selepas 65 hari ditanam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!