Mayat buruh binaan ditemui dalam tangki najis

Hasil bedah siasat yang dijalankan pakar perubatan forensik mendapati punca kematian mangsa akibat trauma tumpul di kepala. - Gambar hiasan
Hasil bedah siasat yang dijalankan pakar perubatan forensik mendapati punca kematian mangsa akibat trauma tumpul di kepala. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA KANGSAR - Mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemui dalam tangki najis disyaki dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Wai Thong di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, maklumat awal berhubung penemuan mayat mangsa berusia 40-an itu diterima sekitar jam 12.20 tengah malam.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan ditemui dalam keadaan berkain sarung dan berseluar dalam tanpa baju di bahagian belakang rumah berkenaan.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar perubatan forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh mendapati punca kematian akibat trauma tumpul di kepala.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Tambah beliau, hasil siasatan pihaknya percaya mangsa mati dalam tempoh 24 jam.

"Polis sedang mengesan sepasang suami isteri juga warga Indonesia yang tinggal serumah dengan mangsa bagi membantu siasatan.

"Pasangan itu telah melarikan diri dipercayai terlibat dalam kes ini bagaimanapun identiti mereka masih belum dikenal pasti," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Subkey Alias di talian 013-9285436/05-7762222.