Aksi 'Spiderman' bantu mangsa nahas curi tumpuan ramai
KUANTAN- Kemunculan 'Spiderman' yang membantu mangsa kemalangan di kawasan Beserah, di sini menarik perhatian netizen selepas gambar berkenaan tular di laman sosial Facebook, sejak petang semalam.
Rata-rata netizen memberikan komen yang positif dan memuji tindakan lelaki berusia 25 tahun itu apabila sanggup menghulurkan bantuan meskipun memakai kostum terbabit.
Mohd Azlan Mohamd Ashari berkata, dia bukan sengaja mencari publisiti sebaliknya mahu membantu kerana kemalangan itu berhampiran dengan lokasi gerainya.
Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama rakan niaganya, Hasmizah Rashid, 39, sedang berniaga air minuman di tepi jalan tersebut.
“Kejadian itu berlaku depan mata, saya tengok kenderaan terbabit terbalik. Jadi saya niat ke sana untuk membantu.
“Saya tidak harapkan sebarang publisiti kerana niat asal saya adalah untuk membantu sebelum pihak polis dan pegawai perubatan tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di gerai Tea Beng Avengers di sini hari ini.
Mohd Azlan berkata, dia sendiri tidak mengetahui segala tindak-tanduknya itu dirakam dan tular dalam Facebook oleh netizen.
“Bila wartawan Sinar Harian datang hari ini, barulah saya tahu tindakan saya sudah tular dalam Facebook,” katanya sambil ketawa kecil.
Sementara itu, rakannya, Hasmizah berkata, perniagaan air Tea Beng Avengers dimulakan sejak Mac lalu.
Katanya, disebabkan ramai yang menjual jenis air yang sama, dia merasakan penggunaan kostum adalah kaedah terbaik untuk menarik pelanggan.
“Jadi, saya meminta Mohd Azlan untuk memakai kostum ‘Spiderman’ dan ada beberapa kostum lain lagi seperti Mickey Mouse yang ada di gerai ini.
“Bila ada kelainan sebegini pelanggan akan mengunjungi gerainya selain merakamkan gambar,” katanya.
Bapa kepada empat anak ini berkata, sejak gambar Mohd Azlan tular di laman sosial kini gerainya itu semakin dikunjungi ramai pelanggan khususnya anak-anak di kawasan berhampiran tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!