Roy King-Su Yin harapan emas kem badminton Malaysia

Roy King (kiri) dan Su Yin (kanan) ketika menentang regu Thailand pada peringkat separuh akhir Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Badminton Morodok Techo hari ini. Foto Bernama
Roy King (kiri) dan Su Yin (kanan) ketika menentang regu Thailand pada peringkat separuh akhir Sukan SEA 2023 Kemboja di Stadium Badminton Morodok Techo hari ini. Foto Bernama
A
A
A

WALAUPUN baru digandingkan beberapa hari sebelum Sukan SEA 2023, pasangan Yap Roy King-Cheng Su Yin menjadi satu-satunya harapan pingat emas kem badminton selepas empat lagi wakil negara terkandas di separuh akhir hari ini.

Bagaimanapun, Roy King-Su Yin terpaksa berhempas pulas lebih satu jam sebelum mengesahkan tempat ke final acara beregu campuran selepas mengetepikan wakil Thailand Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong 24-22, 25-27, 21-19, di Dewan Badminton Morodok Techo.

Pasangan negara menempah pertemuan dengan pilihan utama dari Indonesia Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati, yang menyingkir Ratchapol Makkasasithorn-Chasinee Korepap dari Thailand 19-21, 21-18, 21-19.

Roy King ketika ditemui selepas perlawanan hari ini berkata, beliau harus memberikan kredit kepada Su Yin kerana telah beraksi dengan baik sehingga membawa mereka selangkah untuk mempertahankan pingat emas beregu campuran di temasya dwitahunan itu.

"Jika Su Yin tiada, kami tidak boleh menang lawan Thailand. Saya sangat gembira dapat ke final,” katanya kepada pemberita.

Mengenai perlawanan akhir esok, beliau akan memberikan aksi terbaik dalam usaha menyumbang emas buat kontinjen negara.

Sementara itu, dua pemain perseorangan negara Leong Jun Hao dan Lee Shun Yang berkongsi pingat gangsa selepas tewas kepada lawan masing-masing dari Indonesia Christian Adinata and Chico Aura Dwi Wardoyo di separuh akhir.

Jun Hao yang bermain dengan baik bagaimanapun gagal meneruskan momentum kemenangan selepas tunduk 21-19, 21-12 kepada Adinata manakala Shun Yang tewas kepada Chico Aura Dwi Wardoyo 21-15, 21-18.

Perseorangan lelaki negara yang menduduki ranking ke-64 dunia mengakui tidak mampu menyaingi kehebatan lawannya manakala Shun Yang tetap berpuas hati dengan pencapaian kali ini meskipun terkandas.

"Saya rasa ada peluang pada set kedua, tapi Chico lebih berani untuk beri pukulan yang susah untuk saya balas,” menurut Shun Yang.

Bagi acara beregu wanita pula, Su Yin yang bergandingan dengan kembarnya Cheng Su Hui bagaimanapun tidak dapat meneruskan momentum sama, tewas 21-10, 21-17 kepada wakil Indonesia Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allesya Rose.

Aksi akhir beregu wanita akan menyaksikan pertembungan dua wakil Indonesia selepas pilihan utama Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi mudah mengetepikan satu lagi wakil Malaysia Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan, 21-9, 21-9. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!