Siklon Mocha ragut 9 nyawa di Bangladesh, Myanmar

Seorang kanak-kanak perempuan berdiri di hadapan sebuah bangunan yang rosak akibat taufan Mocha di Sittwe, Rakhine, Myanmar. - Foto AFP
Seorang kanak-kanak perempuan berdiri di hadapan sebuah bangunan yang rosak akibat taufan Mocha di Sittwe, Rakhine, Myanmar. - Foto AFP
A
A
A

DHAKA - Siklon Mocha yang melanda Cox's Bazar di Bangladesh dan perbandaran Kyaukpyu di Myanmar pada Ahad meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa di kedua-dua negara berjiran itu, menurut laporan.

Sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan maut di Myanmar manakala tiga terbunuh di Bangladesh.

Kira-kira 13,000 rumah di Cox's Bazar di Bangladesh musnah akibat Taufan Mocha. Daripada jumlah itu, 2,522 musnah sepenuhnya, lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Pengurusan Bencana dan Bantuan Bangladesh.

Kerajaan telah memindahkan kira-kira 750,000 penduduk sebelum ribut melanda, termasuk 334,000 orang di Cox’s Bazar.

Tiga pekerja ladang garam di Pulau Moheshkhali di pantai tenggara Cox's Bazar dilaporkan terbunuh pada malam Ahad.

Seorang lelaki melihat kerosakan yang disebabkan oleh taufan Mocha di Sittwe, Rakhine, Myanmar. - Foto AFP
Seorang lelaki melihat kerosakan yang disebabkan oleh taufan Mocha di Sittwe, Rakhine, Myanmar. - Foto AFP

"Mayat tiga pekerja itu ditemukan di tempat berbeza di pulau itu. Selain itu, 11 pekerja dimasukkan ke hospital,” kata Pengerusi Majlis Kesatuan Hoanak, Mir Kashem Chowdhury.

Pesuruhjaya Bantuan Tambahan dan Pemindahan Pelarian (RRRC) di Bangladesh, Md Shamsuddoha berkata, sekurang-kurangnya 278 pusat perlindungan rosak sepenuhnya.

Sementara itu, beribu-ribu orang terkandas selepas beberapa kampung di Rakhine State Myanmar turut dilanda Siklon Mocha.

Komuniti yang terjejas termasuk di perbandaran Sittwe, Mrauk-U, Kyauktaw dan Minbya.

Sekurang-kurangnya tiga kem yang menempatkan lebih 1,500 pelarian turut dibadai ribut.

Perkhidmatan komunikasi di Sittwe turut terjejas.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata dana segera diperlukan untuk memudahkan usaha membantu dan menyelamat dijalankan. - Bernama-Anadolu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!