Iran hukum gantung mati penyeludup dadah bersenjata

Iran menjadi negara paling kerap melaksanakan hukuman mati. - Agensi
Iran menjadi negara paling kerap melaksanakan hukuman mati. - Agensi
A
A
A

TEHERAN - Pihak berkuasa Iran menghukum mati lima pesalah berkaitan penyeludupan dadah bersenjata di selatan negara itu, lapor badan kehakiman.

Laman web badan kehakiman Mizan Online yang memetik kenyataan Ketua Hakim Negara wilayah selatan Hormozgan sebagai berkata, semua penjenayah dan penyeludup dadah bersenjata dihukum sampai mati dalam keputusan dikekalkan oleh mahkamah tertinggi Iran.

"Hukuman disebutkan di atas telah dijalankan pada pagi ini (Isnin) di penjara Bandar Abbas dan Minab di Hormozgan," tambahnya.

Hukuman itu menjadikan seramai lapan orang dihukum mati dalam tempoh kurang seminggu kerana menyeludup dadah.

Pada Rabu lalu, badan kehakiman menjatuhkan hukuman mati terhadap tiga anggota kartel dadah, berikutan amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelaksanaan jumlah hukuman mati yang tinggi di negara itu.

Iran menghukum mati ramai pesalah dalam tempoh setahun berbanding negara lain kecuali China, menurut kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International.

Pada Isnin lalu, Iran menghukum mati dua orang kerana didakwa mencemarkan Al-Quran dan menghina Nabi Muhammad, sehingga menyebabkan kecaman dan bantahan dari kumpulan hak asasi manusia di Amerika Syarikat (AS).

Sebelum ini, ketua hak asasi manusia PBB, Volker Turk menyelar rekod prestasi Iran yang disifatkan 'kejam' pada tahun ini dengan purata 10 orang dibunuh setiap minggu. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!