'Rundingan dengan Tun M, Anwar perlu dihentikan'
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu menyebabkan Umno dilihat tiada hala tuju dan bakal berpecah lebih parah lagi.
“Umno tidak perlu menjual maruahnya dengan mengambil jalan pintas dan tergesa-gesa untuk kembali berkuasa melalui pintu belakang. Sebarang usaha segelintir untuk berunding sama ada dengan proksi Tun Mahathir mahupun Datuk Seri Anwar harus segera dihentikan.
“Lebih membimbangkan sekiranya berjaya sekalipun, Umno akan dihukum lebih dahsyat oleh rakyat dalam PRU akan datang kerana dilihat tidak berprinsip dan Umno dinilai sebagai parti bermatlamatkan kuasa semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini sekeping gambar tersebar menunjukkan beberapa pimpinan tertinggi Umno bergambar bersama Tun Mahathir.
Dalam pada itu, Asyraf berkata Umno sebaiknya belajar menjadi seperti Pas yang mempunyai daya tahan utuh dengan prinsip perjuangan walaupun sudah 60 tahun menjadi pembangkang.
“Sedangkan Umno baru sahaja tujuh bulan sudah berantakan dan begitu goyah berhadapan tekanan.
“Sudah tiba masanya Umno fokus terhadap usaha pengislahan serta pemerkasaan parti untuk menjadi pembangkang berwibawa demi rakyat dan sebagai agen ‘semak dan imbang’ yang berkesan kepada kerajaan.
Menurutnya, pucuk pimpinan perlu memberi perhatian serius atas fenomena ahli-ahli Parlimen keluar parti yang rata-rata memberikan alasan hilang kepercayaan kepada kepimpinan dan kabur terhadap hala tuju parti.
“ni bermakna Umno harus bermula dengan proses muhasabah dengan menginsafi segala kesilapan dan salah laku kita terdahulu sekaligus memohon maaf kepada rakyat atas segala keterlanjuran.
“Hakikatnya, rakyat bukan menolak perjuangan kita. Kekalahan kita berpunca daripada pelbagai imej negatif yang berjaya dipahat dalam minda rakyat mengaitkan Umno dengan sikap angkuh dan bongkak lantaran terjebak dalam segala bentuk penyelewengan, korupsi dan masalah integriti,” katanya.
Katanya, Pemuda Umno kekal setia dengan parti meskipun ketika itu semua telah beralih arah meninggalkan perjuangan.
“Kami kekal berpendirian sebagaimana ucapan dasar Pemuda yang disepakati bersama iaitu tidak sesekali menjadi ‘seludang menolak mayang’ meninggalkan parti yang banyak jasanya kepada kita.
“Malah Pemuda akan terus setia bersama wadah keramat Umno bak kata pujangga ‘sakit sama mengaduh, luka sama mengeluh.’ Sekalipun jika di waktu itu semua beralih arah meninggalkan parti dan kalian menoleh ke belakang, hanya seorang sahaja yang masih tinggal memegang panji Umno, maka dialah Pemuda Umno,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!