20,000 tandatangan proklamasi orang Melayu dikumpul secara 'online'
PUNCAK ALAM - Sebanyak 20,000 tandatangan proklamasi orang Melayu telah dikumpul secara dalam talian sejak ia dilancarkan pada Mac lalu.
Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya berkata, sebanyak 100,000 borang juga telah dikeluarkan secara manual untuk ditandatangani secara terus di seluruh negara kecuali Sarawak.
Menurutnya, proklamasi berkenaan bertujuan untuk menyatukan orang Melayu melangkaui sempadan politik.
"Proklamasi ini sebagai satu daripada sokongan supaya orang Melayu faham apa yang berlaku hari ini.
"Bagi mencapai matlamat ini kita amat memerlukan sokongan dan penyatuan orang Melayu itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Jamuan Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Bandar Puncak Alam di sini pada Isnin.
Marzuki memberitahu, orang Melayu digesa menandatangani proklamasi itu bagi mengembalikan maruah kaum itu seperti sebelum ini.
"Lebih ramai lagi baik dan kita menyasarkan sehingga sejuta yang menandatangani proklamasi ini," ujar beliau.
Ditanya proklamasi yang ditandatangani orang Melayu itu akan dihantar kepada pihak mana, Marzuki memberitahu, keputusan mengenainya belum lagi dibuat.
"Pada masa ini kita mahu sokongan orang Melayu sebanyak mungkin dan kita akan buat pengumuman mengenainya," jelas beliau.
Beliau memberitahu, pihaknya turut yakin akan terus mendapat sokongan pemimpin Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.
"Niat utama kita hanya mahu menjadikan bangsa Melayu ini satu dan tidak berpecah belah dengan merentasi parti," jelas beliau.
Sementara itu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut hadir pada majlis itu memberitahu, lebih 1,000 tandatangan diperoleh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut apabila ditanya media berkaitan proklamasi berkenaan.
"Di sini (DUN Jeram) ada lebih 1,000 sudah tandatangan dan kita harap lebih ramai lagi," jelasnya ringkas.
Proklamasi itu merangkumi 12 perkara antaranya menyebut bahawa orang Melayu tidak pernah menguasai ekonomi negara ini dan satu-satunya kuasa yang ada iaitu politik turut terlucut dari tangan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!