Menunggu berita gembira sempena Hari Guru
HARI ini merupakan penghormatan buat guru-guru di seluruh negara. Sejak dahulu, tarikh 16 Mei pasti diingati bukan sahaja warga pendidik, malah seluruh masyarakat di negara ini.
Manakan tidak, ketika di bangku sekolah, tarikh tersebut sentiasa ditunggu-tunggu murid kerana biasanya akan ada jamuan untuk meraikannya. Tidak hairan apabila dewasa, tarikh tersebut sentiasa melekat di ingatan.
Tidak dinafikan, peranan guru kepada pembangunan negara amat besar. Individu-individu yang berjaya asalnya daripada didikan para guru.
Tidak pernah ada guru yang merungut kerana penat mengajar anak muridnya sehingga menjadi ahli perniagaan, doktor, peguam atau jurutera.
Bahkan, ketika anak muridnya sudah bekerja dan menjadi jutawan, dia masih lagi setia berkhidmat atau pencen sebagai seorang guru. Itulah uniknya profesion tersebut.
Namun, dalam apa jua pekerjaan, emosi dan mental akan mempengaruhi tugasan dan ia tidak terkecuali kepada para pendidik.
Guru-guru diberi tanggungjawab berat untuk mencapai kadar peratusan kualiti yang tinggi, tetapi berdepan pula dengan sesetengah pelajar yang tiada kemahuan untuk belajar.
Dasar dan sistem yang berubah-ubah juga merupakan bebanan kepada guru-guru. Silap kalau sesiapa yang beranggapan tugas guru hanya mengajar, sebaliknya mereka juga diberi tugas menjaga hal ehwal murid serta tugasan pentadbiran dan kerja perkeranian.
Itu belum masuk soal kemudahan. Ketika ramai kakitangan kerajaan bekerja selesa di dalam pejabat yang sejuk dilengkapi penyaman udara, masih ada bilik guru yang hanya dilengkapi kipas angin. Tidak hairanlah jika ada guru yang merasakan jawatannya tidak dihargai dan memilih bersara awal.
Bagaimanapun, sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan pada tahun ini mungkin dapat ‘mengubat’ penat lelah lebih 400,000 orang guru di Malaysia sama ada peringkat rendah atau menengah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek membayangkan beberapa berita gembira akan diumumkan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada hari ini. Ya, memang sepatutnya para guru diberikan imbuhan sewajarnya.
Semoga ia menjadi pembakar semangat kepada mereka. Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!