'Kita tak serius'

Sasaran pingat diletakkan kepada kontinjen negara dalam Sukan SEA Kemboja 2023 pada 1 Mei lalu. (Gambar kecil: Mazlan)
Sasaran pingat diletakkan kepada kontinjen negara dalam Sukan SEA Kemboja 2023 pada 1 Mei lalu. (Gambar kecil: Mazlan)
A
A
A

KEGAGALAN kontinjen Malaysia mencapai sasaran 40 emas seperti ditetapkan untuk Sukan SEA Kemboja 2023 disifatkan berpunca daripada tidak keseriusan menghadapi temasya dwitahunan itu.

Malah, menurut bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad, sasaran itu merupakan bersifat 'selamat' yang sebenarnya mampu dicapai kontinjen Malaysia.

“Sebenarnya kita kena ambil serius bermula daripada pemimpin sukan hingga peringkat atlet kerana Sukan SEA ini merupakan temasya dua tahun sekali.

“Dua tahun bukan satu tempoh masa lama... jadi persediaan untuk perkara yang berkaitan membawa imej negara perlukan dilakukan pada tahap terbaik.

“Kita perlu lebih tegas dan tiada berkompromi dalam memastikan sasaran dapat dicapai, jika memerlukan latihan pusat 24 jam demi maruah negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sebagai rekod, kontinjen Malaysia diletakkan sasaran sebanyak 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa pada edisi ke-32 kali ini seperti yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sehingga jam 10 malam tadi kontinjen Malaysia berjaya mengumpul 30 pingat emas, 42 perak dan 85 gangsa dengan keseluruhan 157 pingat bagi kedudukan ketujuh.

Dalam pada itu, Mazlan berharap MSN lebih praktikal dalam memastikan setiap sasaran pingat mampu dicapai kontinjen Malaysia.

“Mungkin sudah tiba masanya MSN perlu menukar pendekatan selepas berakhirnya Sukan SEA Kemboja 2023. Ketika berada di MSN, saya mengambil pendekatan tegas dan tidak berkompromi dalam hal ini (sasaran pingat).

“Saya ambil tanggungjawab serius kerana melibatkan maruah negara, sekiranya gagal saya amat rasa bertanggungjawab sebagai organisasi yang dipertanggungjawabkan bagi memacu kecemerlangan arena sukan Malaysia,” ujarnya.

Pada masa sama, Mazlan turut berharap setiap persatuan sukan kebangsaan perlu meletakkan pungutan pingat emas sebagai keutamaan masing-masing.

“Ini penting kerana kita mahu atlet yang dihantar dalam mana-mana temasya sukan mempamerkan semangat juang untuk memburu pingat emas.

“Jika hanya letak pingat gangsa sebagai sasaran (Sukan SEA), pada saya ia perlu disemak semula kerana kita dalam usaha melahirkan atlet berdaya saing ke peringkat lebih tinggi seperti Sukan Asia atau Sukan Olimpik,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!