Wujud pasaran sihat, tumpu aspek tingkat pendapatan rakyat
CYBERJAYA - Kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memastikan negara ini mempunyai pasaran yang sihat selain menetapkan harga yang adil kepada pembeli dan peniaga.
Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menjelaskan pasaran yang sihat apabila keseluruhan rantaian mempunyai persaingan yang cukup supaya harga menjadi adil dan tidak membebankan.
"Apabila tak ada persaingan yang mencukupi dalam pasaran maka di situ mula akan timbul tindakan monopoli dan harga akan menjadi lebih daripada sepatutnya (mahal).
"Saya berpandangan perhatian kerajaan terhadap persaingan dan kecekapan atau pasaran sihat di setiap peringkat tidak jelas. Selain, kita ada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tetapi ia hanya muncul apabila ada masalah.
"Sepatutnya pelaksanaan itu sepanjang masa. Kita mesti ada satu tindakan yang khusus untuk memastikan pasaran itu menjadi sihat, cukup persaingannya dan harga adil," katanya kepada Sinar Harian selepas Sesi Perbincangan Meja Bulat Majlis Profesor Negara (MPN) di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, secara umum masyarakat sudah terperangkap dengan idea bahawa harga murah lebih baik tetapi sebenarnya ia ada kesan sehingga mengakibatkan kerajaan perlu campur tangan seperti beri subsidi dan sebagainya untuk jadikan barangan tersebut murah.
Ujarnya, langkah menetapkan harga murah bukan suatu jalan penyelesaian malah ia mewujudkan persaingan tidak sihat dalam pasaran.
Dalam pada itu, Noor Azlan berkata, kerajaan perlu menumpukan masalah pendapatan rakyat dan bukannya harga barangan.
"Kos sara hidup di peringkat antarabangsa menunjukkan Malaysia adalah antara negara yang murah. Orang luar nampak kos sara hidup kita murah tetapi kita di sini mengeluh sebab isu pendapatan.
"Jadi pentingnya tingkatkan pendapatan sebab kumpulan yang terjejas adalah kumpulan paling bawah dan kumpulan berpendapatan rendah.
"Sebab itu saya menyokong usaha Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli meletakkan keazaman untuk meningkatkan pendapatan, cumanya perkara itu kena buat dengan cara yang betul," jelasnya.
Pada Isnin, Majlis Profesor Negara menganjurkan sesi perbincangan meja bulat dengan menghimpunkan lebih 20 ahli akademik untuk berbincang mengenai soal menangani isu peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!