Pahang lulus RUU Tarekat

Laporan Sinar Harian Disember 2020. Wan Rosdy - Foto Bernama
Laporan Sinar Harian Disember 2020. Wan Rosdy - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tarekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, RUU ini diperkenalkan agar kegiatan tarekat boleh didaftarkan dan dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, selain daripada pemantauan dan pembendungan sebarang ajaran sesat yang menggunakan nama Tarekat.

"Pelaksanaan enakmen ini kelak diharap dapat memberi kesan seperti berikut, amalan tarekat tasawuf dapat dimasyarakatkan dan tidak diamalkan secara sembunyi-sembunyi.

"Pengamal tarekat dan masyarakat akan dapat pendedahan tepat dan secara ilmiah tentang tarekat tasawuf," katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.

Tambah Wan Rosdy, enakmen ini juga dapat menyasarkan gerakan sifar sesat di negeri ini selain dapat mewujudkan organisasi kumpulan Tarekat yang bersistematik dan berorganisasi.

"Malah, enakmen ini dapat membimbing dan mentarbiah pengamal Tarekat berdasarkan prinsip tasawuf yang murni di bawah seliaan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah dan Pendaftar Tarekat.

“Semoga dengan pembentangan RUU terbaru ini dapat memperkasakan hal ehwal agama Islam di Pahang serta membendung segala percanggahan syarak terhadap sebarang amal ibadat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!