Statut ROM: Siapa akan dakwa Peguam Negara?
SHAH ALAM - Pemuda UMNO mempersoalkan proses siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas program Forum Awam Malaysia dan Statut Rom yang diadakan di Universiti Malaya baru-baru ini kerana turut menampilkan Peguam Negara, Tommy Thomas sebagai satu daripada ahli panel.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan apa akan berlaku selepas kertas siasatan di peringkat PDRM selesai dan diangkat ke Pejabat Peguam Negara.
“Adakah Peguam Negara akan mendakwa dirinya sendiri? Sebab itu adalah lebih beretika jika Tommy meletakkan jawatan sebelum dipecat oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Desakan Pemuda UMNO adalah munasabah malah amat selari dengan peruntukan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Asyraf berkata, Tommy perlu meletak jawatan kerana bersekongkol dan gagal mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu yang dihina menerusi Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Auditorium Tun Suffian, Universiti Malaya (UM) yang dihadirinya Sabtu lalu.
"Bagi kami Tommy sudah tidak layak memegang jawatan sebagai Peguam Negara kerana beliau boleh dianggap bersubahat kerana langsung tidak mempertahankan Raja-Raja Melayu apabila panelis lain dalam forum tersebut yang menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan membangkitkan kebencian dan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu di hadapannya.
"Sepatutnya beliau tidak perlu hadir bersekongkol bahkan menasihatkan penganjuran forum awam ini dibatalkan setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa kabinet memutuskan bahawa kerajaan akan menarik balik ratifikasi ke atas Statut Rom," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan polis terhadap Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Ali yang didakwa mengkritik Raja-Raja Melayu di forum mengenai Statut Rom di UM pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Hina Raja-Raja Melayu: Perkasa buat laporan polis
ARTIKEL BERKAITAN: Forum kritik Raja-Raja Melayu, mana suara Peguam Negara?
Laporan polis itu juga mengaitkan Tommy dan Ketua Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Asheeq Ali Sethi Alivi serta beberapa individu lain.
Sementara itu, Asyraf Wajdi mendakwa, tiga kebencian dan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu telah disebarkan sepanjang forum tersebut berlangsung.
"Antaranya mendakwa Raja-Raja Melayu merasa terancam dan tidak memberi perkenan kepada ratifikasi Statut Rom kerana mahu melindungi diri mereka dari jenayah kemanusiaan yang mereka lakukan.
"Mereka turut mendakwa Raja-Raja Melayu dari Johor ke Perlis bukan keturunan raja sebenarnya tetapi adalah keturunan daripada orang yang diletakkan sebagai raja oleh British selain mendakwa Raja-Raja Melayu makin meluas menentang, menceroboh dan melanggar perlembagaan negara, termasuk dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!