Peluang rakyat nilai kerjasama ahli Parlimen tangani rasuah
SHAH ALAM - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) merupakan satu peluang kepada rakyat melihat sejauh mana kolaborasi dan kerjasama antara ahli Parlimen menangani isu rasuah di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, kerjasama itu juga turut menilai peranan mereka dalam mendengar suara rintihan dan kegelisahan rakyat mengenaj masalah dan isu rasuah yang begitu mendatangkan pelbagai masalah dari sudut politik, ekonomi dan sosial.
"Gabungan yang kita ada pada hari ini kenapa dikatakan merentas parti, kita dapat lihat bahawa dengan adanya satu kerajaan dipanggil Kerajaan Perpaduan, itu sebenarnya tidak mencukupi.
"Platform KRPPM ini akan melihat gabungan kerajaan dan pembangkang duduk bersama selain mengenepikan ego, kepentingan dan ideologi politik masing-masing demi rakyat di atas tema IGAR," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media KRPPM IGAR bertempat di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Penubuhan KRPPM IGAR telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada pada 3 April lalu, bertujuan untuk menggubal, menambah baik dan memperkasa polisi serta dasar berkaitan anti rasuah dan tadbir urus negara untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menyekat penyalahgunaan kuasa melalui gabungan kolektif ahli-ahli parlimen, senator, masyarakat sivil dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.
Dalam pada itu, Nurhayati berkata, keberadaan wakil terdiri daripada masyarakat sivil, pakar-pakar dan ahli akademik di parlimen memberi ruang, pandangan serta sudut persepktif berbeza disuarakan selain mereka akan mengangkatnya ke Parlimen agar ianya berubah menjadi sebuah reformasi sama ada reformasi institusi mahupun reformasi legislatif.
Nurhayati berkata, pihaknya yakin bahawa usaha tersebut perlu diangkat segera oleh keseluruhan ahli Parlimen bukan mereka yang semata-mata berada dalam KRPPM IGAR.
"Kita juga faham kesedaran dibawa Rasuah Busters di peringkat akar umbi hanyalah sebahagian dari usaha kita menangani dan menghapuskan endemik rasuah ini tetapi sesuatu perlu berlaku di Parlimen.
"Reformasi insitusi dan reformasi undang-undang perlu dilaksanakan dan kita memerlukan barisan ahli Parlimen di negara ini bantu membangkitkan keadilan, menghentikan serta merta rasuah, menamatkan riwayat rasuah dan juga perkara salah laku dari berlaku supaya kezaliman tidak terjadi negara kita," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!