Cuaca panas: Kerajaan bersedia isytihar darurat

Seorang murid sekolah menutup kepala dengan buku susulan cuaca panas.
Seorang murid sekolah menutup kepala dengan buku susulan cuaca panas.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersedia untuk mengisytiharkan darurat berikutan cuaca panas melanda negara ini.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu belum diputuskan buat masa ini.

"Kita sedang membuat pemantauan 24 jam sehari dan kalau ada darurat, pengumuman akan dibuat.

Buat masa ini belum lagi," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) di bangunan Perdana Putra, di sini pada Selasa.

Menurutnya, Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara berhubung pengisytiharan darurat akan digunakan sekiranya cuaca panas melampau berterusan.

"Sekarang kerajaan mengambil langkah proaktif dan tidak lagi (langkah) berjaga-jaga di dalam menangani cuaca panas," katanya.

Beliau berkata, antara langkah proaktif diambil adalah kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) untuk melakukan pembenihan awan di tujuh empangan.

Ia melibatkan kawasan Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang, Sungai Bernam dan Sungai Similajau.

"Petang ini saya akan terus ke Sungai Muda dan Sungai Kedah untuk melihat sendiri keadaan di sana dan mengambil tindakan segera iaitu dari segi pembenihan hujan," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi JPBP berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah diarahkan bersiap-siaga untuk pengagihan domestik air minuman.

"Perkara ini mesti bincangkan dengan syarikat-syarikat air dan pihak berkuasa tempatan (PBT)," ujar beliau.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga telah mengenal pasti 406 lokasi utama yang dijangka berlaku pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut.

"Sebanyak 616 operasi pemantauan telah diadakan di kawasan tersebut terutamanya kategori tanah kebun dan ladang, hutan belukar dan tempat pembuangan sampah," katanya.

Menurut Ahmad Zahid, terdapat 101 telaga tiub di kawasan tanah gambut sebagai langkah untuk pemadaman.

"Pemantauan juga dilakukan melalui 47 menara tinjau dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk pengoperasian," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!