Isi kualiti rumah aduan tertinggi diterima FOMCA
SHAH ALAM - Isu kualiti rumah menjadi aduan tertinggi diterima Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) terutamanya ketika pasca pandemik Covid-19.
Timbalan Setiausaha Agungnya, Nur Asyikin Aminuddin berkata, hal itu dikhuatiri disebabkan sikap pemaju yang mahu menjimatkan kos tanpa menghiraukan kualiti dan aspek keselamatan projek perumahan tersebut.
Menurutnya, lebih teruk lagi apabila rumah baru dan masih dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (Defect Liability Period-DLP) tetapi telah banyak masalah yang timbul.
"Antara isu aduan yang kerap FOMCA terima daripada pengguna adalah berkenaan dengan kualiti rumah, tempoh Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) yang terlampau singkat, projek rumah sakit dan juga pembangunan perumahan baru yang terlalu padat dan tidak teratur.
"Banyak masalah yang timbul seperti lif yang menggelusur secara laju dan berhenti secara tiba-tiba, pintu lif tidak terbuka, keadaan ruang bangunan parkir yang bertakung dengan air sehingga menyebabkan keadaan lantainya berlumut, tingkap di depan kawasan lif di tingkat atas yang tercabut yang amat berisiko tinggi.
"Ini bahaya kepada pengguna golongan rentan terutamanya kanak-kanak untuk jatuh ke bawah disebabkan keadaan struktur tingkap yang amat rapuh dan senang tercabut. Adakah ini standard kualiti rumah atau tempat tinggal bagi rakyat Malaysia?," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menambah, tempoh DLP perlu disemak semula dengan memanjangkan lagi tempohnya kepada lebih daripada dua tahun.
Katanya, sepanjang tempoh DLP tersebut, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak berwajib perlu sentiasa membuat pemeriksaan berkala melalui pejabat pengurusan (MO) atau pihak pemaju projek di mana kerja-kerja mereka perlu dipantau.
"Jika terdapat masalah-masalah yang timbul dalam tempoh DLP tersebut, adakah urusan pembaikan tersebut dijalankan mengikut prosedur SOP yang ditetapkan atau sekadar untuk melengahkan masa sehingga tamat tempoh DLP.
"Mengapa perlu tunggu pembeli rumah membuat tindakan undang-undang kepada pemaju melalui Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) sedangkan sebarang projek perumahan diluluskan sendiri oleh pihak PBT,"katanya.
Sehubungan itu juga jelas beliau, FOMCA menyokong kenyataan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung dengan projek perumahan mampu milik baharu akan jalani ujian dan analisis supaya pembeli menerima rumah yang berkualiti dan selesa untuk didiami.
"Semestinya analisis seperti ini perlu digunapakai juga oleh semua jenis projek perumahan termasuk perumahan yang mewah,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!