Jati cipta rekod MBOR sempena ulang tahun ke-30
SAMBUTAN ulang tahun Jati ke-30 mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan menghasilkan guni beras terberat di Malaysia.
Pengurus Besar Serba Wangi Sdn Bhd, Chua Ken Jin berkata, guni beras seberat tiga tan yang dihasilkan telah berjaya memadamkan rekod lama iaitu 1.501 tan.
"Beras seberat tiga tan itu kemudian akan disumbangkan kepada golongan memerlukan seperti rumah kebajikan anak yatim dan pusat penjagaan warga emas," katanya pada sambutan ulang tahun Jati ke-30 berlangsung di pusat beli-belah Lot 10 di sini pada Selasa.
Perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Azman Mahmood.
Pelbagai acara diadakan pada sambutan itu antaranya 30 arca hidangan disediakan penganjur dan pengunjung yang hadir boleh menyertai pertandingan tangkap dan menang dengan 303 set hadiah menarik ditawarkan.
Ken Jin berkata, Jati merupakan jenama daripada syarikat pengeluar, Serba Wangi Sdn Bhd yang telah berkembang menjadi salah satu produk terkemuka dan menjadi pilihan nombor satu kebanyakan keluarga di Malaysia.
"Kejayaan ini merupakan salah satu penghormatan dan pengiktirafan yang amat membanggakan buat Jati dan sudah tentu kejayaan ini tidak dapat dikecapi tanpa sokongan daripada pelanggan seluruh negara.
"Selepas tiga dekad berada di pasaran, Jati telah membuktikan kewibawaan menerajui industri dengan kepelbagaian barangan yang dihasilkan termasuk tepung, bihun, bijiran dan lain-lain.
"Ini menunjukkan dedikasi Jati dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
"Saya berharap agar Jati dapat menjadi jenama global dengan pelbagai jenis produk yang memenuhi keperluan orang ramai di semua peringkat masyarakat satu hari nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!