El- Nino: Negeri Sembilan siap sedia bantu petani

Bakri (kanan) dan Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Shahlan Kusaseh pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri FAMA Negeri Sembilan 2023 pada Selasa.
Bakri (kanan) dan Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Shahlan Kusaseh pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri FAMA Negeri Sembilan 2023 pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bersedia dengan beberapa perancangan bagi membantu petani di negeri ini dalam meminimumkan kesan fenomena El-Nino.

Exco Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, keadaan kritikal dijangka berlaku pada bulan Ogos hingga Oktober ini dan agensi terlibat diminta turun padang melihat bentuk bantuan yang dapat disalurkan kepada petani terlibat.

"Perancangan tersebut antaranya termasuklah menyediakan bantuan pam air serta menjadualkan semula tanaman padi.

"Bagaimanapun setakat ini belum ada laporan petani yang terjejas tetapi kami menjangkakan masa yang akan datang ada yang terkesan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan Sempena Aidilfitri 2023 di sini pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyenaraikan lapan negeri yang mudah dipengaruhi fenomena El-Nino iaitu cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian El-Nino tahun 2015-2016.

Negeri terbabit ialah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

SPAN berkata, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kebarangkalian berlakunya El-Nino adalah sekitar 57 peratus pada bulan Jun hingga September 2023 dan meningkat kepada 62 peratus pada September sehingga November 2023.

Mengulas lanjut, Bakri berkata, pihak Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan juga telah diminta untuk mengkaji semula jadual tanaman padi di seluruh negeri ini.

"Saya sudah minta untuk melihat semula jadual penanaman supaya ketika El-Nino betul-betul datang, itu bukanlah waktu padi yang diusahakan betul-betul memerlukan air," katanya lagi.

Difahamkan tanaman padi di seluruh Negeri Sembilan melibatkan kawasan sawah seluas 1,239 hektar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!